Seramai 35 Warga Asing Memiliki MyKad Ditahan Tahun Ini – Hamzah Zainudin
- oleh Samad Mohd
- 4 tahuns lalu
Sehingga 17 Julai, seramai 35 warga asing yang memiliki MyKad palsu telah ditahan dalam 37 operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan rakyat Malaysia yang didapati terlibat dalam sindiket pemalsuan MyKad akan diambil tindakan di bawah SOSMA.
Warga asing yang membeli atau memiliki MyKad palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) apabila kesalahan berkaitan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dimasukkan ke dalam SOSMA.
Hamzah juga berkata ketika ini, warga asing yang melakukan kesalahan itu hanya ditahan di bawah Akta Imigresen dan dihantar pulang ke negara asal.
“Ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan tidak memerlukan pindaan akta atau melalui Parlimen,” kata Hamzah dalam sidang media semasa lawatan pertamanya ke JPN, di sini hari ini.
“Di bawah Jadual Pertama SOSMA diberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri, akan kita lihat untuk tambah kesalahan dilakukan di bawah Akta Imigresen boleh dimasukkan dalam SOSMA,” katanya lagi.
Ditanya mengenai sindiket pemalsuan MyKad, beliau berkata siasatan akan dijalankan berdasarkan 12 tangkapan terbaru.
Dalam pada itu, Hamzah berkata Kementerian Dalam Negeri sedang berunding dengan beberapa syarikat berkaitan usaha membangunkan kad pengenalan (ID) digital bagi mengurangkan isu pemalsuan MyKad di masa hadapan.
“Banyak teknologi yang ada di dunia ini dan kami ingin pastikan sistem yang kami gunakan bukan hanya terbaik, tetapi boleh link dengan apa yang kami ada sekarang.
“Dari segi kegunaan, kita ada kad pengenalan secara fizikal (MyKad) dan juga secara digital, maknanya kita tengok je muka anda, kita tahu dah,” jelas Hamzah.
BACA : 11 Warga Asing Ditahan Memiliki MyKad Palsu
Sumber : Bernama.