Ikuti Kami:

Serangan Iran Musnahkan Pangkalan Utama Tentera Israel, Lebih 20 Jet Pejuang Dilaporkan Hancur

Serangan Iran Musnahkan Pangkalan Utama Tentera Israel, Lebih 20 Jet Pejuang Dilaporkan Hancur

TEL AVIV – Imej satelit terbaru menunjukkan kemusnahan besar di hangar pesawat di pangkalan utama tentera udara Israel selepas ia diserang oleh Iran dalam Operasi Janji Benar 2.0 pada malam Selasa lalu.

Serangan itu mengakibatkan kerosakan serius di Pangkalan Udara Nevatim, yang merupakan salah satu pusat ketenteraan terpenting Israel.

Menurut laporan agensi berita AP, satu lubang besar kelihatan pada bumbung beberapa bangunan berhampiran landasan utama di kemudahan Nevatim.

Pangkalan ini menempatkan pesawat tempur canggih, termasuk F-35 Lightning II buatan Amerika Syarikat (AS), dan terletak di kawasan seluas kira-kira 50 kilometer persegi di gurun Negev.

Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan impak besar akibat serangan itu, di mana kira-kira 20 hingga 30 misil balistik yang dilancarkan dari Tehran mengenai kemudahan tersebut. Sumber tempatan mendakwa bahawa lebih 20 jet pejuang telah musnah dalam serangan ini.

Dalam kenyataan berasingan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan bahawa beberapa pangkalan udara mereka mengalami kemusnahan akibat hujan misil yang dilancarkan Iran.

Walaupun begitu, pihak Israel cuba menenangkan keadaan dengan mendakwa bahawa tiada jet pejuang, dron, atau pesawat kritikal yang musnah, dan operasi udara mereka masih berfungsi seperti biasa.

Menteri Pertahanan Iran, Brigadier Jeneral Aziz Nasirzadeh, dalam satu sidang media mengesahkan serangan itu, yang melibatkan hampir 200 peluru berpandu balistik canggih jarak jauh termasuk Fattah-2, telah mengenai lebih 90 sasaran strategik Israel, termasuk ibu pejabat risikan Mossad.

“Operasi ini dilakukan dengan kerjasama Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan mematuhi undang-undang antarabangsa. Kami tidak menyasarkan lokasi awam,” tegas Nasirzadeh.

Serangan ini merupakan tindak balas Iran terhadap tindakan Israel di Lubnan dan Gaza, yang telah menimbulkan kecaman antarabangsa. Namun, pihak Israel bertindak menutup beberapa kawasan ketenteraan dan melarang media melaporkan keadaan sebenar di lapangan.

Komen
Loading...