Shafie Apdal Sependapat Dengan Hajiji dan Abang Jo, Seru Penambahan Kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sependapat dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai keperluan mendesak untuk menambah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.
Memetik Sinar Harian, Shafie juga berkata tiada penambahan kerusi Parlimen di Sabah sejak negara mencapai kemerdekaan, walaupun perkara ini telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Cuma ada sekali saja, bila tambah di Kalabakan iaitu Tawau kita pecah satu kerusi di situ, tidak banyak. Jadi dalam amalan biasa ia dalam jangka masa 10 tahun kerusi ini boleh diubah, ditambah,” ujarnya.
Ahli Parlimen Semporna itu menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk melaksanakan penambahan kerusi ini, terutama dengan pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang kini telah mencapai 73 kerusi.
“Jadi kalau kita lihat satu kawasan Parlimen sampai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Jadi bayangkan kawasan yang ada di Sabah ini besar kawasannya,” katanya.
Sehubungan itu, Shafie, yang merupakan bekas Ketua Menteri Sabah, menekankan bahawa sudah tiba masanya untuk menambah jumlah kerusi Parlimen dengan mempertimbangkan dua faktor tersebut.
Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap Abang Johari dan Hajiji jika isu penambahan kerusi Parlimen dibawa ke Parlimen.