Ikuti Kami:

Sheila Majid Kekal Bersinar, Konsert 40 Tahun Sold Out!

Sheila Majid Kekal Bersinar, Konsert 40 Tahun Sold Out!

Ratu Jazz Nusantara, Dato’ Sheila Majid, sekali lagi membuktikan bahawa kehebatannya di pentas muzik Malaysia tidak pernah pudar apabila konsert istimewa 40 Years In Music berlangsung penuh gemilang di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

Lebih membanggakan, konsert berskala mega itu ‘sold out’, dengan lebih 9,000 peminat membanjiri arena terbesar negara, menjadikan malam itu satu detik bersejarah buat penyanyi legenda yang telah menabur bakti dalam industri muzik selama empat dekad.

Dianjurkan oleh Altus Prohouse dengan kerjasama TopGallant Show, konsert lebih dua jam ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi sebuah perayaan terhadap legasi Sheila Majid yang kekal relevan merentas generasi.

Muncul di pentas dengan anggun dan berkarisma, Sheila membuka tirai dengan lagu “Warna” (1988), membawa penonton menyelami detik awal keemasan kariernya.

Persembahan diteruskan dengan rangkaian lagu ikonik seperti Aku Cinta Padamu, Antara Anyer Dan Jakarta, Legenda, Kerinduan dan Dia, setiap satunya diolah dengan susunan muzik segar dan bertenaga di bawah pimpinan Mac Chew sebagai Pengarah Muzikal.

Dalam pada itu, Dato’ Sheila Majid, menzahirkan rasa syukur atas sokongan peminat yang tidak pernah pudar sepanjang 40 tahun kerjayanya dalam industri muzik.

“Saya tidak pernah menyangka beruntung dicintai peminat yang sentiasa menyokong saya sejak 40 tahun lalu. Ini adalah satu anugerah buat saya, Keberadaan empat dekad saya dalam industri seni Nusantara juga bukan hasil individu tetapi saya telah bertuah kerana mendapat khidmat ramai ‘arkitek’ dan ‘tangan magis’ yang membantu karier saya sehingga kini.

“Jadi Sheila Majid 40 Years in Music adalah tribute terhadap banyaknya pembabitan individu-individu hebat di belakang saya dan menjadi tanda manis kepada karier saya yang masih diterima baik oleh generasi kini,” katanya dalam kenyataan media.

Antara sorotan konsert yang menarik perhatian ialah kemunculan anak Sheila Majid, Kayda yang mempersembahkan lagu “Boneka”, menambah sentuhan manis dan generasi baharu dalam malam penuh nostalgia itu.

Kayda atau nama lengkapnya Wan Nur Khaleda Roslan adalah nama anak sulung kepada penyanyi popular, Datuk Sheila Majid dan komposer Roslan Aziz.

Walaupun usianya kini 60 tahun, Sheila masih kekal aktif dan bertenaga di atas pentas, menampilkan stamina luar biasa dan vokal yang tetap mantap, seolah-olah masa tidak pernah menjejaskan kehebatannya.

Konsert ini turut mempersembahkan pencahayaan bertaraf antarabangsa produksi visual dan audio bertaraf antarabangsa dikelolakan Jennifer Thompson (Pengarah Konsert) dan pereka pentas, Steve Ho, menjadikan setiap lagu sarat dengan emosi, menyemarakkan nostalgia peminat lama dan memperkenalkan keindahan muzik Sheila kepada generasi baharu.

Malam itu mencapai kemuncaknya dengan lagu “Sinaran”, lagu ikonik yang menaikkan nama Sheila Majid, apabila seluruh dewan bergema dengan nyanyian penonton, menandakan kasih dan penghargaan terhadap seorang figura seni yang tidak pernah hilang sinarnya.

Komen
Loading...