KLANG: Pempengaruh Siti Suriani Wahidin atau Siti Jamumall menyerahkan urusan berkaitan surat tuntutan (LOD) yang dihantar oleh syarikat The Dome BBK kepadanya kepada peguam.
Siti Jamumall, 25, yang kini berada di luar negara atas urusan kerja berkata, dia enggan memanjangkan isu ini dalam media sosial kerana tidak mahu timbul kekeliruan.
“Minta maaf, saya sekarang berada di luar negara. Berkenaan LOD itu, biar berurusan dengan peguam sahaja sebab saya malas nak panjangkan ke media sosial.
“Takut nanti akan ada kekeliruan. Jadi, biar perkara ini diselesaikan di mahkamah sahaja,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, The Dome BBK menerusi peguam syarikat, Hifdzi Salmiah Kee Hanisah & Co menghantar LOD kepada pempengaruh itu pada 4 September lalu, namun, belum menerima maklum balas.
LOD itu menyenaraikan beberapa tuntutan iaitu berhenti mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah kepada The Dome BKK, memadam hantaran dan kandungan yang dimuat naik dalam platform media sosialnya, keluarkan satu kenyataan permohonan maaf dan perlu disiarkan di media utama atau platform media dalam 48 jam dan ganti rugi RM1 juta atas kerosakan reputasi daripada tindakan keluarkan Siti Jamumall di media sosial.
Terdahulu, Siti Jamumall hadir ke lokasi The Dome BBK dan berjumpa dengan pengurus acara untuk mencari tempat bagi mengadakan majlis perkahwinannya.
Namun, pihaknya didakwa membuat beberapa permintaan antaranya, meminta penajaan lokasi. Selepas beberapa perbincangan dan diskaun ditawarkan, tidak ada persetujuan daripada kedua-dua pihak dan Siti Jamumall didakwa mula memuat naik video memburukkan syarikat berkenaan.