Siti Nurhaliza Sertai Barisan 31 Artis Terkenal di Hausboom Music Festival 2024
- oleh Samad Mohd
- 4 bulan lalu
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, bakal tampil di pentas Hausboom Music Festival 2024, yang akan berlangsung pada Oktober ini. Kejutan ini mencuri perhatian ramai apabila Siti memilih untuk menyanyikan lagu-lagu tradisional atas permintaan pihak penganjur, menjadikan persembahannya di festival tersebut sebagai sesuatu yang dinantikan peminat.
Dalam satu temubual bersama, Siti menyatakan ini merupakan kali kedua beliau bekerjasama dengan pihak penganjur.
“Kali pertama bersama Bulan Bintang, tetapi kali ini sedikit berbeza kerana ia adalah sebuah festival muzik yang lebih besar,” katanya.
Siti turut menambah, penganjur meminta beliau mempersembahkan lagu-lagu tradisional untuk menambahkan kelainan kepada acara tersebut.
Walaupun baru sahaja selesai mengadakan konsert solo di Genting Highlands, penyanyi lagu Bagaikan Sakti ini tetap komited dan bersedia memberikan yang terbaik di Hausboom Music Festival.
“Saya masih ada dua bulan untuk membuat persiapan rapi, dan festival ini tidak memerlukan komitmen besar seperti konsert solo,” ujarnya.
Siti merupakan satu-satunya penyanyi wanita solo yang bakal beraksi di festival tersebut, di samping 31 artis lain termasuk Senario, Dolla, Ruffedge, dan Datuk Zainal Abidin.
“Saya rasa penyertaan saya melambangkan kepelbagaian, terutamanya dari segi genre tradisional yang saya bawakan,” jelasnya.
Hausboom Music Festival 2024 akan diadakan di KL Base, menampilkan gabungan artis Malaysia dan Indonesia.
Nama-nama besar seperti Wings, Bunkface, Masdo, Joe Flizzow, serta kumpulan Indonesia, Payung Teduh dan The Changcuters, akan turut serta memeriahkan festival ini.
Selain itu, Hausboom juga akan menganjurkan Hausboom Lokal Fest yang menampilkan 110 peniaga lokal serta 40 jenama streetwear terkenal Malaysia. Tiket boleh didapati secara dalam talian di https://sayalive.io/hbm2024, dengan harga bermula dari RM189 untuk kemasukan umum, RM349 untuk Rock Zone, dan RM1,200 untuk VVIP.