SPIDER UNPLUGGED Berjaya ‘Bersarang’ di Megastar Arena Kuala Lumpur
- oleh Atie
- 26 Oct 2025 1:38 am
Kumpulan rock tanah air, SPIDER, berjaya ‘bersarang’ di hati peminat menerusi konsert SPIDER UNPLUGGED yang berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur malam semalam.
Kumpulan SPIDER yang dianggotai Tam (vokal), Aie (dram), Iss (bass) dan Pown (gitar) tampil dengan persembahan bertenaga dan harmoni, hasil kesepakatan antara ahli kumpulan serta penganjur bagi menjayakan konsert tersebut.
Konsert anjuran Naga Legend Entertainment itu disifatkan sebagai satu penghargaan kepada peminat setia SPIDER yang terus menyokong perjalanan muzik kumpulan tersebut sejak awal penubuhannya lebih dua dekad lalu.
Menurut wakil Naga Legend Entertainment, Fandy Alias, konsert itu merupakan kali pertama SPIDER tampil secara rasmi dengan konsep UNPLUGGED, dan hasilnya menunjukkan sisi kematangan serta keunikan bunyi muzik kumpulan berkenaan.
“Konsep UNPLUGGED yang dibawakan kali ini amat istimewa kerana memperlihatkan keaslian dan keintiman muzik SPIDER. Ia menjadi momen berharga buat peminat yang hadir menyaksikan persembahan ini,” katanya.
Vokalis, Tam, berkata konsert ini adalah impian yang telah lama diidamkan kumpulan SPIDER untuk menampilkan muzik mereka dalam bentuk yang lebih santai dan akustik.

Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu menampilkan 24 buah lagu dengan sentuhan pengarah muzik Firdaus Mahmud, yang berjaya membawa penonton mengimbau dan menelusuri perjalanan panjang karier muzik SPIDER.
Antara lagu yang dipersembahkan ialah Rasakan Resapkan, Kau Saja, Kacap Terlabik, Sumpah Tak Buat Lagi, Waduh Tijah, Mama, Nak Lantak, Telinga Ke Tulang, Mabok, Kekal serta Jangan Kau Berputus Asa yang didedikasikan khas buat Gaza dan turut memperkenalkan lagu baharu bertajuk Sungguh Ku Telah Jatuh Cinta.
Tidak ketinggalan lagu-lagu ‘wajib’ seperti Ngam Ho, Aladin, Bila Nak Saksi, Laukku Cukup Masin, Kasih Latifah, Relaku Pujuk, Buat Sang Puteri, Cinta Dewa Dewi dan Nazraku.
Sebagai penutup, SPIDER memilih lagu Mungkinkah Terjadi sebagai encore, menamatkan malam penuh kenangan itu dengan sorakan dan nyanyian bersama ribuan peminat yang memenuhi dewan.




