STAR KRUise Showcase Tawar Pengalaman Muzik dan Percutian Mewah Bersama Legenda KRU
- oleh Gerbang Daily
- 23 Oct 2025 5:55 pm
Legenda muzik tanah air, kumpulan KRU, bakal berlayar bersama peminat menerusi pelayaran mewah STAR KRUise Showcase selama lima hari empat malam di atas kapal Star Voyager Cruise (SVO) bermula Januari tahun depan.
Dianjurkan oleh SUKA Cruise dengan sokongan StarDream Cruise dan Sony Music Malaysia, pelayaran tersebut menawarkan gabungan unik antara hiburan eksklusif dan percutian bertaraf antarabangsa, merentasi laluan Singapura, Port Klang dan Phuket.

Menurut Adam, idea penganjuran showcase di atas kapal persiaran tercetus selepas pihaknya melihat kecenderungan pelancong yang semakin mencari pengalaman baharu dalam pakej pelayaran.
“Kami mahu menjadikan pelayaran lebih menarik dan berbeza. Justeru, kami tampil dengan konsep hiburan eksklusif di laut dengan menampilkan KRU sebagai artis utama bagi menarik minat peminat dan penggemar pelayaran,” katanya semasa sidang media di Royale Chulan Damansara, hari ini.
Beliau berkata pakej pelayaran ditawarkan bermula RM2,588 seorang termasuk penginapan, makanan, persembahan khas KRU dan lawatan ke destinasi menarik.
Tambahnya, harga itu amat berpatutan bagi tempoh lima hari empat malam dengan pelbagai aktiviti yang disediakan.

Sementara itu, Dato’ Norman Abdul Halim berkata peluang untuk membuat persembahan di atas kapal merupakan pengalaman baharu dan istimewa bagi mereka sekeluarga.
“Saya memang sudah lama ingin mencuba pengalaman menaiki kapal persiaran. Apabila menerima tawaran ini, ia seolah-olah dua dalam satu, dapat bercuti bersama keluarga sambil membuat persembahan untuk peminat,” katanya.
Edry Abdul Halim pula berkata pelayaran itu akan memberi peluang kepada kumpulan berkenaan berinteraksi lebih dekat dengan peminat melalui pelbagai aktiviti santai seperti karaoke, sesi mesra dan jamuan santai di atas kapal.
“Kami mahu suasana lebih intim kali ini, bukan sekadar konsert seperti di pentas besar. Ia lebih akustik dan peribadi agar setiap peminat dapat merasai pengalaman yang istimewa,” katanya.
Datuk Yusry Abdul Halim berkata pelayaran itu bukan sahaja menghidupkan semula nostalgia KRU, malah menjadi simbolik kepada sejarah panjang kumpulan itu dalam industri muzik.

Kapal Star Voyager Cruise (SVO)
Pelayaran STAR KRUise Showcase akan berlangsung pada dua tarikh iaitu 25 hingga 29 Januari 2026 (Singapura–Port Klang–Phuket–High Seas–Singapura) dan 26 hingga 30 Januari 2026 (Port Klang–Phuket–High Seas–Singapura–Port Klang). Tempahan kini dibuka melalui ejen rasmi SUKA Cruise.
Harga bermula RM2,588 untuk maklumat lanjut boleh menghubungi ejen rasmi SUKA Cruise seperti 365 Travel & Tours (012-390 3560 / 019-600 2553), Afrina Batrisyia Travel & Tour (017-466 5699 / 012-341 1786), Dazzle Travel (012-316 4401 / 016-312 8471), Flywind Holidays (017-541 2350), Prima One Holidays (013-248 8719), Prides Tour (010-468 0708 / 019-269 2918) dan Wani Don Holidays (013-775 6995).




