Ikuti Kami:

Sultan Selangor Berkenan Terima Permohonan Ampun Menteri Besar Kedah

Sultan Selangor Berkenan Terima Permohonan Ampun Menteri Besar Kedah

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menerima permohonan ampun daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam surat titah yang dimuatnaik oleh Selangor Royal Office, baginda menerima permohonan itu atas nama ukhwah sesama Islam dan bangsa Melayu.

“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, semoga Datuk Seri berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera. Permohonan ampun dan maaf Datuk Seri berkenaan kenyataan Datuk Seri pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor telah beta pertimbangkan. Beta berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Datuk Seri di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

“Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas dalam permohonan maafnya,” titah baginda.

Baginda juga menasihati Muhammad Sanusi agar menjaga tutur kata dan tidak beremosi dalam memberi syarahan kepada rakyat, khususnya di Selangor.

“Beta tidak mahu rakyat terpengaruh dengan kata-kata kesat dan tohmahan yang tidak berasas, terutama daripada pemimpin. Kelakuan dan tutur kata yang baik amat penting untuk masa depan karier politik Datuk Seri.

“”Sebagai pemimpin, Datuk Seri harus memikirkan kesan dari setiap tindakan. Akhir sekali, beta berharap semoga Datuk Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab,” titah Sultan Sharafuddin.

Semalam, media melaporkan Muhammad Sanusi sekali lagi mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar.

Ini merupakan permohonan maaf kedua Menteri Besar Kedah itu kepada Sultan Selangor selepas permohonan pertama pada 14 Julai tahun lalu.

Komen
Loading...