Symphony Of Ungu: Konsert Ulang Tahun Ke-29 Dengan Sentuhan Magis Orkestra
- oleh Atie
- 4 bulan lalu

Kumpulan rock popular dari Indonesia, Ungu, bakal meraikan ulang tahun ke 29 penubuhan mereka menerusi konsert istimewa Symphony of Ungu yang dijadual berlangsung pada 12 Julai ini di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Konsert anjuran Apex Venture Global Sdn Bhd itu bakal menampilkan kelainan apabila buat julung kalinya lagu lagu popular Ungu akan dipersembahkan dalam susunan muzik orkestra yang dikendalikan oleh konduktor J.P Denny.
Gabungan muzik rock dan elemen orkestra dijangka memberikan sentuhan magis dan pengalaman yang lebih segar kepada para penonton.
“Ini adalah kali pertama kami mengadakan konsert dengan konsep orkestra dan saya janji ia akan menjadi sesuatu yang belum pernah disaksikan oleh peminat kami,” kata vokalis utama Pasha dalam satu sidang media maya pada Khamis.
Konsert berdurasi dua jam itu bakal mengangkat karya karya ikonik Ungu seperti “Cinta Dalam Hati”, “Demi Waktu” dan “Tercipta Untukku” dalam susunan baharu yang lebih dramatik dan menyentuh perasaan.
Menurut Pasha, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik sebaliknya sebuah pengalaman yang diharap mampu meninggalkan kesan mendalam kepada setiap penonton.
“Setiap orang akan ada cerita mereka sendiri selepas menyaksikan persembahan ini. InsyaAllah, ia akan menjadi sesuatu yang baharu dan istimewa,” tambah beliau.
Selain Pasha, Ungu turut dianggotai oleh Enda (gitar utama), Oncy (gitar ritma), Makki (keyboard) dan Rowman (dram) barisan pemuzik yang telah bersama sejak awal penubuhan kumpulan ini dan terus kekal relevan dalam industri muzik serantau hampir tiga dekad.
Pihak penganjur menyasarkan kehadiran kira kira 2865 penonton merangkumi peminat setia Ungu dari Malaysia dan Indonesia yang telah menyokong perjalanan seni mereka sejak sekian lama.
Tiket Symphony of Ungu dijual pada harga bermula RM288 hingga RM1588 dan boleh didapati secara dalam talian menerusi platform www.ticket2u.com.my.