The Journey of Sound: Dato Sri Siti Nurhaliza & Judika Kolaborasi Dua Penghibur Nusantara Temui Peminat 14 Disember 2024
- oleh Samad Mohd
- 2 bulan lalu
Dua bintang dari dunia hiburan yang datang dari negara serumpun bersedia untuk memukau peminat di seluruh Nusantara dengan pesona mereka yang unik. Masing-masing telah membawa kebahagiaan kepada peminat melalui karya dan nyanyian mereka selama lebih dari 20 tahun dalam industri muzik.
Dua figura hebat ini adalah puspawati Malaysia, Dato Sri Siti Nurhaliza, dan pemilik vokal lelaki mantap dari Indonesia, Judika. Dengan penuh bangga, penganjur, Universe Gateway, mempersembahkan kolaborasi perdana antara Siti Nurhaliza dan Judika dalam konsert yang bertajuk The Journey of Sound.
Konsert The Journey of Sound dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka pada 14 Disember 2024, dengan harapan besar dari penganjur agar acara ini menjadi penanda aras dan penutup tahun 2024 yang memelihara ‘persahabatan’ antara dua negara melalui bidang hiburan.
“Kami di Universe Gateway sangat berbesar hati menganjurkan The Journey of Sound yang menampilkan kolaborasi dua figura hebat dunia hiburan Nusantara iaitu Dato Sri Siti Nurhaliza dan Judika di Stadium Merdeka pada 14 Disember 2024 ini.
“Mungkin khalayak sudah pernah menonton Siti Nurhaliza dan Judika berduet atau satu pentas sebelum ini tapi percayalah The Journey of Sound akan menjadi panggung yang menyaksikan mereka mempersembahkan sesuatu yang di luar jangkaan anda.
“The Journey of Sound akan menjadi konsert mega daripada dua penyanyi daripada negara berbeza namun dengan tujuan sama iaitu mengukuh dan mengeratkan silaturahim peminat muzik di Nusantara,” ujar Isa, Ketua Pegawai Kewangan dari Universe Gateway.
Lebih daripada itu, nama The Journey of Sound juga melambangkan perjalanan karier serta jatuh bangun dua anak seni berkaliber ini dalam dunia hiburan.
Siti Nurhaliza, dengan 28 tahun pengalaman, telah melakar pelbagai sejarah dan pengiktirafan yang menjadikan Malaysia dikenali di peringkat dunia.
Manakala Judika, yang dikenali sebagai Judika Nalon Abadi Sihotang, telah berjaya mengukuhkan dirinya dalam industri selama 20 tahun. Ini menjadikan The Journey of Sound konsert yang rugi untuk dilepaskan.
“The Journey of Sound akan dipenuhi warna-warni perjalanan seni dan ‘bunyi’ muzik yang telah mengharumkan nama Siti Nurhaliza dan Judika sepanjang perjalanan seni mereka,” tambah Isa lagi.
Sementara itu, Judika juga melahirkan rasa keterujaan dan bangga dapat berkolaborasi dengan Siti Nurhaliza yang dihormati.
“Tentu sahaja saya tidak punya alasan untuk menolak satu panggung bersama Dato Sri Siti Nurhaliza yang saya hormati, apa lagi berkolaborasi dengan beliau dalam sebuah konsert berjudul The Journey of Sound.
“Saya tidak boleh menjanjikan bulan dan bintang tetapi percayalah anda akan menikmati sebuah pengalaman luar biasa di The Journey of Sound, bukan hanya kerana saya dan Siti Nurhaliza selaku subjek utama, tetapi juga bagaimana keseluruhan produksi konsert ini mempersembahkan konsep yang spektakular untuk ditonton,” ujar Judika.
Bagi peminat Siti Nurhaliza dan Judika, jangan lepaskan peluang untuk membeli tiket yang bermula dari harga RM 199 (CAT 5), RM 299 (CAT 4), RM 399 (CAT 3 LOWER/UPPER), RM 499 (SEAT 3), RM 599 (SEAT 2), RM 699 (SEAT 1), RM 799 (ROCK ZONE), RM 799 (VIP ROYAL BOX), RM 899 (VIP ROCK ZONE), RM 1,199 (VIP), hingga RM 1,299 (SUPER VIP).
Penjualan tiket dibuka mulai 12 Oktober 2024, dengan pembelian EARLY BIRD akan berlangsung dari minggu pertama hingga ketiga. Semua kategori tiket boleh dibeli melalui TICKET2U.COM.MY.
INFORMASI
ACARA: THE JOURNEY OF SOUND
ARTIS: DATO SRI SITI NURHALIZA & JUDIKA
LOKASI: STADIUM MERDEKA
TARIKH: 14 DISEMBER 2024
MASA: 8 MALAM
PENGANJUR: UNIVERSE GATEWAY
HARGA TIKET: RM 199 (CAT 5), RM 299 (CAT 4), RM 399 (CAT 3 LOWER / UPPER), RM 499 (SEAT 3), RM 599 (SEAT 2), RM 699 (SEAT 1), RM 799 (ROCK ZONE), RM 799 (VIP ROYAL BOX), RM 899 (VIP ROCK ZONE), RM 1,199 (VIP), RM 1,299 (SUPER VIP)
PEMBELIAN: TICKET2U.COM.MY