Ikuti Kami:

Tiong Nafi Dakwaan Minuman Alkohol Dalam Majlis Global Travel Meet

Tiong Nafi Dakwaan Minuman Alkohol Dalam Majlis Global Travel Meet

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa terdapat minuman beralkohol disajikan dalam majlis makan malam Global Travel Meet (GTM) yang dikaitkan dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Menurut beliau, tuduhan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, kononnya majlis tersebut menyebabkan tetamu Muslim meninggalkan acara lebih awal adalah tidak benar sama sekali dan amat mengelirukan.

“Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab terhadap penganjuran acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta. Majlis makan malam yang dijadikan isu oleh YB Masjid Tanah sebenarnya merupakan inisiatif pihak industri dan sektor swasta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa penganjur dari sektor swasta berhasrat menaja serta meraikan rakan industri antarabangsa sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif Malaysia menganjurkan acara pelancongan berskala global buat julung kali.

“Sekiranya YB Masjid Tanah tidak berkongsi semangat yang sama, itu tidak mengapa, namun janganlah menjejaskan usaha ini dengan kenyataan yang bersifat sabotaj,” katanya.

Tiong turut menegaskan bahawa majlis makan malam berkenaan bukan acara rasmi kerajaan serta tidak mempunyai kaitan dengan sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang didakwa.

“Mengeluarkan kenyataan tanpa memahami fakta sebenar bukan sahaja mengelirukan, malah menampakkan kejahilan. Jika individu seperti Mas Ermieyati terus mengeluarkan kenyataan tanpa fakta dan bersifat fitnah semata-mata untuk menonjolkan diri, ia hanya menjejaskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia,” tegasnya.

Beliau menambah, Tourism Malaysia hanya menggunakan platform majlis makan malam tersebut bagi pelancaran Kalendar Acara Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), yang memuatkan sebanyak 318 acara dari seluruh negara.

“Tourism Malaysia tidak terlibat dalam penyediaan makanan dan minuman. Peranan kami hanya tertumpu kepada penyelarasan persembahan seni dan budaya serta pelancaran Kalendar VM2026,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penganjur menyediakan pelbagai pilihan minuman tanpa alkohol yang mencukupi bagi memastikan keselesaan dan keperluan semua tetamu antarabangsa serta tempatan dipenuhi dengan baik.

Tiong turut menyeru semua pihak, khususnya Ahli Parlimen, supaya memberi tumpuan kepada usaha membangunkan ekonomi negara melalui sektor pelancongan yang mampu menjana peluang pekerjaan serta tukaran asing menjelang pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Sebagai wakil rakyat, beliau juga mempunyai tanggungjawab untuk turut mempromosikan pelancongan negara dan negeri yang diwakilinya,” tambahnya.

Komen
Loading...