Niat sekeluarga mahu menginap di rumah homestay dengan tenang menjadi mimpi ngeri apabila didakwa ada individu yang mengintai ketika salah seorang ahli keluarga berada di dalam tandas baru-baru ini.
Menerusi hantaran TikTok yang tular, individu yang dikenali sebagai Faten Wahida berkongsi, yang pada awalnya mereka tidak menghadapi sebarang masalah ketika tiba ke rumah inap selepas lebih 17 jam tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas.
Nak dijadikan ceritanya pada waktu malam ketika ahli keluarga yang lain keluar pergi mencari barang di Wakaf Che Yeh, Faten yang ketika itu mahu membersihkan dirinya secara tiba-tiba menyedari sesuatu yang mencurigakan di tingkap tandas rumah itu.
Dakwanya, dia melihat objek berupa kamera telefon bimbit di tingkap tandas tersebut yang mana ada seseorang sedang mengambil gambarnya dalam keadaan tidak ‘sopan’.
Dia lalu menjerit memanggil ibunya yan ada di rumah pada ketika itu dan menelefon abangnya bagi memaklumkan mengenai insiden berkenaan.
“Abang aku pula telefon pemilik rumah tu cakap ada orang mengintai aku kat tandas.
“Iyalah, pemilik rumah tu berada di sebelah homestay kami inap sahaja,”kongsinya.
Selepas mengadu, pemilih homestay itu berlakon terkejut dan memaklumkan perkara sebegitu tidak pernah berlaku selama ini.
Namun tidak berpuas hati dengan responsnya, abang kepada Faten lantas bertindak memeriksa telefon bimbit pemilik rumah berkenaan dan mendapati rekaan kamera belakang peranti sama dengan apa yang dilihat oleh mangsa.
“Dia masih tak mengaku tahu waktu ini.
“Mak aku cakap, ‘demi Allah awak tak buat?’ Dia tukar topik lain. Asyik ulang bisnes dia sahaja.
“Aku ni bukan nak tutup periuk nasi dia, aku tahu dia pun cari rezeki melalui rumah itu. Tapi janganlah sampai tangkap gambar orang di tandas,”luahnya.
Oleh itu, dia mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam pemilihan lokasi homestay kerana tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada mereka.