Kumpulan rock tanah air, XPDC membuktikan taring mereka masih tajam apabila berjaya menggegarkan Zepp Kuala Lumpur menerusi konsert berskala besar, XPDC Metalkestra 2025, malam Sabtu lalu.
Konsert anjuran RMR Events Asia itu menyaksikan ribuan peminat membanjiri dewan bagi menyaksikan gabungan unik muzik rock dan elemen orkestra yang disusun indah, sekali gus menampilkan sisi berbeza XPDC tanpa menjejaskan identiti asal kumpulan berkenaan.
XPDC yang kini dianggotai oleh Mamu (vokal), Lola (dram), Eddy (bes), Arif (gitar) dan Izo (gitar utama) tampil penuh bertenaga sejak permulaan persembahan, membuktikan keserasian mereka di atas pentas masih utuh biarpun melalui pelbagai fasa perubahan anggota.
Malam penuh gegar itu dibuka dengan lagu Dunia 4 Segi / King El Mondoq yang disambut dengan sorakan padu penonton.
Lebih menarik, semua anggota XPDC muncul di atas pentas dengan pakaian dan topi bertemakan samurai, lengkap dengan elemen perisai dan hiasan Jepun tradisional yang disesuaikan dengan identiti rock mereka.
Gimik pembukaan itu berjaya mencetuskan aura luar biasa, seolah-olah membawa penonton ke dalam dunia “pahlawan rock” yang bersemangat juang tinggi.
Momentum diteruskan dengan deretan lagu popular seperti Samurai, Berdesup Cahaya, Senapang Patah, Haprak dan Tanggis Darah, yang disampaikan penuh tenaga bersama susunan muzik orkestra yang mengagumkan.
Segmen tribute kepada arwah Mael XPDC dan pengasas kumpulan, JS Kevin menyentuh hati ramai apabila penyanyi jemputan Gad REAL XPDC tampil menyampaikan lagu Abadi Tragedi, Aku & Sesuatu dan Nafisa dengan penuh penghayatan.

Paparan visual khas dua figura penting itu di layar besar menambahkan lagi suasana sebak dalam dewan.
Satu lagi momen bersejarah tercipta apabila bekas vokalis XPDC, Ali Ismail (Ali XPDC) muncul sebagai kejutan pada penghujung konsert untuk menyampaikan lagu Hentian Ini dan Titian Perjalanan.

Kehadirannya disambut dengan tepukan gemuruh penonton yang terharu melihat penyatuan semula dua generasi penyanyi XPDC di atas satu pentas.
Sepanjang lebih dua jam persembahan, XPDC menampilkan 20 buah lagu termasuk Raja Kertas, Tak Nak Jadi Sochai, Talam Dua Muka, Nyanyuk, Kita Peng Yu, Selendang Merdeka, C.I.N.T.A dan Semangat Yang Hilang.
Gabungan bunyi orkestra bersama deruman gitar dan dentuman dram memberi dimensi baharu kepada karya klasik kumpulan itu, menjadikan persembahan lebih megah dan bertenaga.
Kehadiran penonton yang berpakaian bertema “Samurai” menyerikan lagi suasana, malah penganjur turut menganjurkan pertandingan kostum serta memberi hadiah istimewa berupa gitar bertandatangan anggota XPDC kepada peminat bertuah.
XPDC Metalkestra 2025 bukan sekadar konsert, tetapi bukti bahawa legasi XPDC terus hidup dan taringnya masih kekal tajam dan berbisa.




