Ikuti Kami:

Yayasan Nurjiwa Tawar Insentif RM500 Kepada Pelajar Cemerlang SPM

Yayasan Nurjiwa Tawar Insentif RM500 Kepada Pelajar Cemerlang SPM

Seramai 401 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan semua A menerima insentif tunai sebanyak RM500 daripada Yayasan Nurjiwa, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM200,500.

Inisiatif julung kali itu diumumkan oleh pengasas Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sempena Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Menurut Siti Nurhaliza, pemberian insentif itu merupakan satu bentuk penghargaan atas usaha gigih pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik, selain bertujuan memberikan motivasi kepada pelajar lain untuk mencontohi kejayaan tersebut.

“Ini adalah kali pertama Yayasan Nurjiwa menyerahkan insentif kepada pelajar cemerlang dengan keputusan semua A. Harapan kami agar usaha ini dapat memberikan dorongan kepada calon-calon SPM akan datang untuk berusaha meraih kejayaan yang sama,” katanya.

Program pemberian insentif itu turut direalisasikan dengan kerjasama pusat tuisyen terkemuka, PTTI, yang menjadi rakan strategik dalam mengenal pasti pelajar yang layak menerima penghargaan tersebut.

Selain memberi ganjaran kepada pelajar cemerlang, Yayasan Nurjiwa turut giat menjalankan program kebajikan yang menyasarkan pelajar daripada golongan kurang berkemampuan, khususnya kumpulan B40 dan anak-anak yatim.

“Setiap hari kami menyediakan makanan kepada hampir 100 pelajar yang kurang berkemampuan. Bukan itu sahaja, Yayasan turut menyediakan bantuan makanan ini kepada anak-anak yatim. Usaha ini sebenarnya telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dan diharapkan dapat membantu lebih ramai pelajar yang memerlukan,” tambahnya.

Yayasan Nurjiwa yang diasaskan oleh pasangan artis terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, terus komited dalam usaha memperkasakan pendidikan dan kebajikan masyarakat melalui pelbagai inisiatif berterusan.

Komen
Loading...