Zahid Hamidi Hormati Keputusan Rafizi, Nik Nazmi Berundur Selepas Kekalahan Pemilihan Parti
- oleh Gerbang Daily
- 1 bulan lalu

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan penghormatan terhadap keputusan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad untuk meletak jawatan dalam Kabinet selepas kekalahan mereka dalam pemilihan parti.
“Mereka berprinsip, itulah janji mereka, dan kita menghormati pendirian itu,” katanya kepada media selepas menghadiri satu acara di sini.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa meskipun keputusan itu adalah urusan dalaman parti, beliau menghargai sumbangan kedua-dua pemimpin itu dalam kerajaan.
“Biarpun kita tidak campur dalam urusan dalaman parti, bagi pihak rakan-rakan dalam Kabinet, saya merasakan bahawa selama ini mereka telah menyumbang dengan cukup berkesan. Mereka secara kolektif mendukung semua keputusan yang telah ditetapkan oleh Kabinet,” katanya.
Mengulas mengenai kekosongan jawatan yang ditinggalkan Rafizi dan Nik Nazmi, beliau menjelaskan bahawa pengganti mereka kemungkinan besar akan dilantik daripada kalangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Ketiadaan mereka mungkin atas kuasa Perdana Menteri akan digantikan daripada pihak Parti Keadilan Rakyat juga,” katanya.
Ketika ditanya sama ada pengunduran kedua-dua pemimpin itu akan memberi kesan kepada kerajaan.
“Pemimpin datang dan pergi. Insya-Allah, Perdana Menteri akan memilih orang yang terbaik daripada kalangan pemimpin untuk berada dalam Jemaah Menteri.” katanya.
Beliau turut menolak spekulasi bahawa portfolio yang dikosongkan akan diisi oleh pemimpin UMNO, dengan menegaskan bahawa kuasa melantik menteri adalah hak mutlak Perdana Menteri.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengesahkan bahawa beliau telah menerima permohonan cuti serta surat perletakan jawatan daripada Rafizi dan Nik Nazmi.
Namun, beliau memaklumkan bahawa hanya permohonan cuti mereka diluluskan, manakala keputusan mengenai perletakan jawatan tidak disentuh dalam kenyataan media tersebut.