Pelakon terkenal, Zahirah MacWilson baru-baru ini mencuri tumpuan netizen di media sosial gara-gara aktres itu’ditegur’ persatuan Public Health Malaysia (PHM) di Facebook.
Dalam hantaran PHM itu, persatuan itu menegur tindakan Zahirah yang melakonkan babak merokok dalam sebuah drama TV.
Berikutan itu, PHM mendakwa aktres itu seolah-olah telah mempromosikan amalan gaya hidup tidak sihat memandangkan drama itu boleh ditonton tanpa had umur.
Agak menyedihkan situasi di Malaysia apabila pelakon Zahirah Macwilson perlu melakonkan watak seorang wanita yang merokok, walaupun beliau sendiri bukan perokok dan membenci tabiat tersebut.
Malah, PHM turut membuat perbandingan industri hiburan di Korea yang telah mengharamkan sama sekali adegan merokok dalam drama mereka.
PHM juga meminta semua pelakon dan penggiat seni untuk berani mengatakan tidak kepada adegan merokok demi kesihatan sendiri dan masyarakat.
Difahamkan, Zahirah dikehendaki untuk membawa watak Fatimah Umar, seorang wartawan meja jenayah dalam drama Metro Crime Series: Siapakah Lelaki Itu? yang disiarkan di saluran TV3.