Bunyi Letupan dan Gegaran di Ipoh Masih Misteri: Pelbagai Agensi Kerajaan Nafi Terlibat
- oleh Samad Mohd
- 2 bulan lalu
Penduduk di sekitar Ipoh dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dan gegaran pada pagi Isnin, yang berlaku sekitar jam 11.06 pagi, menyebabkan kebimbangan meluas di kalangan masyarakat setempat.
Punca insiden tersebut masih belum dapat dikenalpasti, dan siasatan sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa.
Polis Perak memaklumkan bahawa tiada latihan letupan dilakukan oleh Briged Utara Pasukan Gerakan Am ketika kejadian, manakala kuari di kawasan berhampiran juga mengesahkan bahawa tiada sebarang letupan dilakukan sebelum jam 12 tengah hari.
Pihak berkuasa seismik turut memaklumkan bahawa tiada aktiviti gempa bumi dikesan di Ipoh, walaupun gempa bumi dilaporkan berlaku di Halmahera, Indonesia pada jam 11.24 pagi.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Selasa turut menafikan bahawa bunyi dentuman dan gegaran yang berlaku di sekitar Ipoh berpunca daripada dentuman sonik (sonic boom) pesawat pejuang tentera. Kenyataan ini mengesahkan bahawa pesawat TUDM tidak terlibat dalam insiden tersebut.
Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan bahawa bunyi letupan dan gegaran itu tiada kaitan dengan kejadian gempa bumi di Indonesia, dan punca kepada kejadian itu masih tidak diketahui.
Polis Perak terus menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen Perak bagi membantu siasatan.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam sementara siasatan dijalankan.
Insiden ini mendapat perhatian luas di media sosial, dengan ramai penduduk berkongsi pengalaman dan rakaman mengenai bunyi letupan misteri tersebut. Pihak berkuasa dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi setelah siasatan selesai.