Hiburan

Khamis Ini! Sentuhan Sulung Muzikal M. Nasir ‘Mansur & Liu’ Gegar Istana Budaya

Oleh

Khamis Ini! Sentuhan Sulung Muzikal M. Nasir ‘Mansur & Liu’ Gegar Istana Budaya

Tirai pementasan teater tanah air bakal menyaksikan detik bersejarah Khamis ini apabila legenda muzik negara, Datuk M. Nasir, buat julung kalinya menampilkan sentuhan pengarahannya menerusi pementasan teater muzikal berskala besar bertajuk Mansur & Liu di Panggung Sari, Istana Budaya.

Pementasan yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 20 September itu diilhamkan daripada naskah epik terbilang Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), membawakan kisah hubungan diplomatik serta percintaan bersejarah antara Sultan Mansur Shah dan Puteri Hang Li Po.

M. Nasir berkata, percubaan sulungnya dalam arena pengarahan teater muzikal ini merupakan satu cabaran baharu yang menggabungkan elemen muzik tradisional Melayu, orkestra, serta gubahan seni bina pentas moden bagi memberi nafas segar kepada kisah klasik berkenaan.

Lagu-lagu yang digubah khusus untuk muzikal ini memainkan peranan penting dalam menggerakkan emosi dan jalan cerita supaya penonton bukan sahaja menyaksikan sejarah, tetapi merasai jiwa dan keindahan budaya era Kesultanan Melayu Melaka.

Naskah terbitan Icon Entertainment dengan kerjasama Istana Budaya itu menampilkan barisan pelakon terkemuka tanah air, antaranya Aliff Aziz yang menggalas watak Sultan Mansur Shah manakala pelakon berpengalaman Melinda Dadew memegang watak Puteri Hang Li Po (Liu).

Turut memperkasa pementasan ini ialah Sherry Alhadad, Hazama, Amerul Affendi, Brian Chan, Anas Ridzuan, dan Fadhli Masoot.

Pementasan Mansur & Liu bakal menyajikan persembahan bagi sesi petang pada jam 3.00 petang dan sesi malam pada jam 8.30 malam sepanjang tempoh tayangan.

Tiket pementasan yang dijual pada harga bermula RM88 hingga RM408 kini boleh didapati menerusi https://www.ticket2u.com.my/event/51619/teater-muzikal-mansur-liu