KAB Goldynamics Sdn Bhd (KAB Gold) terus memperkukuh kedudukannya dalam industri emas tempatan menerusi pembukaan cawangan baharu di KL Traders Square, Setapak, di sini.
Majlis perasmian atau Grand Opening yang berlangsung meriah hari ini turut diisi dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila pihak syarikat menyantuni dan menyampaikan sumbangan zakat kepada 60 orang penerima golongan asnaf.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KAB Gold, Mohamed Khairul Anuar Mohd Basri berkata, pembukaan cawangan di ibu negara ini merupakan langkah strategik bagi mendekatkan lagi jenama tersebut dengan para pelanggan di sekitar Lembah Klang.
Bagaimanapun, menurut beliau, kejayaan perniagaan tidak seharusnya diukur semata-mata menerusi aspek pertumbuhan komersial dan jualan, sebaliknya perlu seiring dengan usaha berkongsi rezeki bersama masyarakat.

“Kami amat bersyukur kerana dapat membuka cawangan baharu di Kuala Lumpur dan pada masa yang sama meraikan pembukaan ini bersama komuniti. Sumbangan kepada 60 penerima asnaf di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Akar Budi Centre ini amat bermakna bagi kami.
“Kami percaya setiap rezeki yang diperoleh mempunyai tanggungjawab untuk dikongsi, dan kami mahu semangat tersebut menjadi sebahagian daripada perjalanan KAB Gold,” katanya.
Sumbangan zakat berkenaan merupakan sebahagian daripada zakat yang ditunaikan oleh KAB Gold kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) pada tahun sebelumnya, di mana sebahagian daripada jumlah tersebut dikembalikan untuk diagihkan sendiri kepada golongan yang layak.

Majlis perasmian bermula jam 10 pagi hingga 4 petang itu disempurnakan oleh Pendakwah Selebriti, Ustaz Zul Ramli M. Razali.
Sebagai sebuah syarikat yang beroperasi berteraskan prinsip patuh Syariah, KAB Gold meletakkan aspek ketelusan dan integriti dalam urus niaga emas pada tahap tertinggi bagi membina keyakinan para pelanggan.

Selain diraikan dengan kehadiran tetamu kehormat, pengunjung yang membanjiri cawangan baharu itu turut disajikan dengan pelbagai tarikan menarik termasuk promosi diskaun emas, pameran koleksi barangan kemas terkini, cabutan bertuah, serta merasai kemeriahan jamuan Kenduri Kambing Pak Mat Western.
Melalui pembukaan cawangan di Setapak ini, KAB Gold berharap ia bukan sahaja menjadi destinasi pilihan baharu penggemar barangan kemas, malah terus kekal komited dalam memperkasa nilai komuniti dan kesejahteraan bersama.

