Bisnes

DAEM Wujud Rantaian ‘Farm-to-Table’, Sasar Hantar Daging Terus ke Rumah

Oleh

DAEM Wujud Rantaian ‘Farm-to-Table’, Sasar Hantar Daging Terus ke Rumah

Syarikat pembekal daging tempatan, DAEM Sdn Bhd (DAEM) mengorak langkah mendigitalkan rantaian bekalan makanan negara menerusi pengenalan pelan lima fasa ke arah mewujudkan ekosistem farm-to-table yang terjamin, mampan, dan boleh dijejaki secara menyeluruh daripada sumber ternakan hingga ke tangan pengguna.

Peluncuran fasa kedua pelan berkenaan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Bin Ishak di MAEPS, Serdang, hari ini.

Turut hadir menyaksikan peluncuran itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Haron.

Menerusi fasa baharu ini, DAEM memperkenalkan IMAN (Integrated Management Autonomous Network), sebuah sistem tempahan daging berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan pengguna membeli produk daging secara terus menerusi aplikasi WhatsApp.

Pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR untuk berinteraksi dengan IMAN tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan, sekali gus membolehkan proses memilih inventori, membuat tempahan, dan menyelesaikan pembayaran dilakukan dengan pantas dan mudah.

Pengasas Bersama DAEM, Alif Satar berkata, pembangunan sistem IMAN direka khas bagi memastikan proses pembelian daging tempatan dan import dapat diakses dengan mudah oleh segenap lapisan masyarakat.

“Kita mahu mudahkan pelanggan. Tak perlu aplikasi baharu atau proses yang rumit — WhatsApp sahaja, pilih produk, tempah dan bayar. Fasa pertama kita bawa daging terus kepada pengguna melalui Meat Nomads. Dengan IMAN sebagai fasa kedua, kita bawa pengalaman DAEM terus ke WhatsApp pelanggan,” katanya.

Sistem IMAN yang disokong oleh perisian Odoo Enterprise Resource Planning (ERP) berkeupayaan menghubungkan data produk, inventori, dan operasi syarikat secara terus kepada telefon pintar pelanggan, sekali gus disusuli dengan perkhidmatan penghantaran hari berikutnya menggunakan pembungkusan rantaian sejuk (cold chain).

Di samping pemantapan platform digital, DAEM turut memperkukuh rantaian bekalan ternakan di bahagian huluan menerusi kelulusan pusat kuarantin di Pasir Mas, Kelantan bagi menyokong kemasukan awal ternakan dari luar negara serta pembangunan penternakan tempatan.

“Kita mulakan dengan kambing, bina sumber dari beberapa negara dan pada masa sama bangunkan penternakan tempatan. Apabila ekosistem semakin kukuh, kita mahu kembangkan pendekatan yang sama kepada lembu,” tambah Alif lagi.

Mengulas mengenai inisiatif digital dan model perniagaan daging bergerak berkenaan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak menjelaskan pihak kementerian menyokong penuh usaha penciptaan nilai yang berpotensi meluas bagi memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.

“Ini merupakan salah satu produk yang ada potensi. Pendekatan yang akan diambil oleh kementerian adalah kita buat ‘sandbox’ dengan PBT. Kita pastikan bahawa SOP baru kita akan keluarkan dan mana-mana halangan dari segi perundangan, peraturan dapat kita selaraskan supaya model ini dapat kita lancarkan.

“Apa yang kementerian boleh sokong adalah memastikan dari segi ‘food security’, produk ini selamat, berkualiti tinggi dan halal supaya pengguna ada keyakinan,” kata Isham.

Pelaksanaan fasa kedua menerusi sistem IMAN dan sokongan kawal selia kementerian membuktikan komitmen DAEM dalam mentransformasikan industri daging tempatan.

Gabungan teknologi AI, infrastruktur logistik rantaian sejuk, serta pengukuhan bekalan ternakan huluan dijangka mampu memperkasa keterjaminan makanan negara sekali gus menawarkan pengalaman pembelian daging yang selamat, lutsinar, dan mudah diakses oleh segenap lapisan pengguna.