Nasional

FELDA Berisiko Rugi RM2.5 bilion: Kerajaan Diminta Perjelas Kemelut Arbitrasyen Eagle High – Warga Maya

Oleh

FELDA Berisiko Rugi RM2.5 bilion: Kerajaan Diminta Perjelas Kemelut Arbitrasyen Eagle High – Warga Maya

Pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan kerajaan didesak tampil memberikan penjelasan tuntas berhubung status semasa kutipan dana pelaburan berjumlah RM2.3 bilion susulan keputusan Pusat Arbitrasyen Antarabangsa Singapura (SIAC) membabitkan PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).

Desakan tersebut disuarakan menerusi satu hantaran yang tular di media sosial baru-baru ini, susulan kebimbangan terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa agensi berkenaan berdepan risiko kerugian mencecah RM2.5 bilion sekiranya kemelut perundangan di Indonesia gagal dirungkai segera.

Menurut hantaran itu, warga peneroka dan pemegang taruh menuntut ketelusan mengenai sejauh mana usaha penguatkuasaan keputusan tribunal timbang tara antarabangsa telah digerakkan oleh kepimpinan tertinggi agensi berkenaan.

“Soalan utama yang wajib ditanya oleh setiap warga peneroka hari ini: Mengapa wang tuntutan jualan berserta faedah 6 peratus tersebut masih gagal ditarik masuk ke akaun FELDA sampai ke hari ini?” soal penulis hantaran berkenaan.

Hantaran terbabit turut memperincikan bahawa perjanjian asal pemilikan 37 peratus kepentingan dalam EHP pada 2016 mengandungi klausa Put Option (hak jual balik) yang menjamin pulangan modal asal bernilai AS$505.4 juta (sekitar RM2.3 bilion) daripada Kumpulan Rajawali, berserta kadar faedah tahunan terakru sebanyak enam peratus.

“Kemenangan ini bukti mutlak bahawa dari segi undang-undang, pelaburan ini tidak rugi. FELDA ada hak tuntutan tunai yang sangat kukuh,” tegas hantaran itu yang turut mempersoalkan ketegasan tindakan korporat dan eksekutif agensi berkenaan dalam mencairkan aset tuntutan tersebut.

Selain isu kutipan dana, warga maya turut membandingkan perkembangan itu dengan siasatan berskala besar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi ‘Op Fella’ yang memfokuskan kepada pembelian tujuh aset dan projek Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) antara tahun 2010 hingga 2020.

Mereka mendesak agar skop siasatan rasmi, termasuk Terma Rujukan (TOR) Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), turut merangkumi keputusan korporat serta implikasi fiskal membabitkan pelaburan EHP.

“Kalau Op Fella boleh siasat tujuh projek FIC, kenapa kes tuntutan EHP yang berisiko kerugian RM2.5 bilion dipinggirkan? Masukkan kes ini dalam Terma Rujukan (TOR) RCI secara telus,” tambah hantaran itu lagi.

Kemelut pelaburan berkenaan sebelum ini kembali menjadi tumpuan selepas Anwar mendedahkan bahawa beliau telah menghantar surat rasmi kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, bagi memohon perhatian khusus terhadap pertikaian perundangan yang berpanjangan di republik itu.

“Pelaburan ini (EHP) yang tersangkut di mahkamah di Indonesia. Saya telah menulis surat kepada Presiden Prabowo Subianto meminta beliau melihat juga masalah ini.

Kemudian kalau tidak ditangani, (kerugian adalah) RM2.5 bilion, yang mungkin kita peroleh nanti hanya RM200 juta. Ini satu contoh,” kata Anwar ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra bersama Pengurusan Tertinggi dan Pengurus FELDA di Bangi, seperti dilaporkan Berita Harian.

Pertikaian itu difahamkan berlarutan selepas pihak Kumpulan Rajawali memfailkan prosiding perundangan di mahkamah Indonesia bagi mencabar pelaksanaan anugerah tribunal SIAC, sekali gus mencetuskan cabaran rentas sempadan dalam usaha FELDA membawa pulang dana berbilion ringgit demi kestabilan kewangan agensi dan kebajikan peneroka.

Sumber Facebook