Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bukan sekadar terlepas peluang meraih keuntungan mega sehingga RM830 juta, malah kini dihimpit risiko liabiliti saman pampasan mencecah RM3.5 bilion ekoran projek pembangunan komersial Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak yang terbengkalai.
Penganalisis isu semasa, Eric See-To menerusi hantaran di akaun media sosial Facebook Lim Sian See berkata, orang ramai tidak seharusnya teralih fokus dengan isu pendakwaan mahkamah membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation (FIC) semata-mata, sebaliknya perlu melihat kerugian besar yang kini terpaksa ditanggung warga peneroka.

Jelas beliau, mengikut perjanjian asal pada tahun 2014, pemaju Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) dilantik membangunkan KLVC dengan komitmen pulangan minimum RM500 juta atau 10 peratus daripada Nilai Pembangunan Kasar (GDV) kepada FELDA, mengikut mana yang lebih tinggi.
“Dengan anggaran GDV projek mencecah RM8.3 bilion, FELDA sebenarnya berpotensi meraih pulangan sehingga RM830 juta tanpa mengeluarkan modal kerana kos pembiayaan dan pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pemaju.
“FELDA hanya menyediakan tanah sebagai tapak projek,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Mengulas kontroversi pemilikan 16 lot tanah yang hangat diperkatakan sebelum ini, Eric See-To mendedahkan kesemua hak milik lot tersebut sebenarnya telah pun dikembalikan kepada FELDA secara percuma tanpa sebarang kos seawal Mac 2018, iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Namun, persoalan timbul apabila projek yang sudah pun mula dibina di tapak berkenaan dilaporkan tergantung dan dihentikan sepenuhnya pada September 2018 susulan kegagalan memuktamadkan rundingan perjanjian baharu selepas berlaku peralihan kuasa kerajaan ketika itu.
Akibat tindakan menghentikan projek tersebut, SPSB memfailkan tindakan undang-undang terhadap FELDA dan FIC dengan tuntutan ganti rugi bernilai RM3.5 bilion.
Kedudukan FELDA dilaporkan semakin berisiko selepas Mahkamah Rayuan pada Oktober 2023 membenarkan saman SPSB terhadap agensi itu diteruskan berkaitan isu penyerahan milikan kosong (vacant possession) tanah, seperti dilaporkan portal berita perniagaan The Malaysian Reserve.
“Jika projek diteruskan, FELDA dapat durian runtuh sehingga RM830 juta. Sekarang apa yang berlaku adalah FELDA rugi peluang pulangan itu dan sebaliknya menanggung ancaman saman RM3.5 bilion.
“Siapa yang perlu bertanggungjawab dan menjawab keputusan silap yang dibuat ini? Kes ini bukan sekadar isu hak milik tanah, tetapi soal tadbir urus dan menjaga periuk nasi warga peneroka,” soal beliau.

