Usaha keras membuahkan hasil! Gara-gara rajin berniaga emas, seramai 15 ahli Sri Semantan Privilege Club (SSPC) boleh tersenyum lebar apabila masing-masing dianugerahkan sebuah rumah banglo mewah bernilai RM350,000.
Lebih manis, inisiatif lumayan daripada Kedai Emas Sri Semantan itu bukan sekadar menjadi ganjaran atas kejayaan mereka mencatatkan jualan emas terkumpul sebanyak 20 kilogram secara berkumpulan, malah turut mengubah status kehidupan sebahagian penerima yang dulunya hidup serba kekurangan.
Pengerusi Kedai Emas Sri Semantan, Mohamad Hafizal Mahmood berkata, fasa pertama pemberian kediaman dengan nilai keseluruhan mencecah RM4.5 juta itu melibatkan ahli dari Kelantan, Pahang, Johor dan Selangor.

“Rumah ini adalah pencapaian tertinggi buat mereka selepas melalui pelbagai fasa dalam komuniti, bermula daripada peringkat Affiliate, Assistant Manager, Manager, Master Manager sehinggalah berjaya mencapai tahap Freedom.
“Selain kediaman, mereka sebelum ini turut berpeluang merangkul pelbagai ganjaran menarik termasuk kenderaan mewah, pakej pelancongan, menunaikan umrah serta simpanan emas peribadi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Freedom dan Kenduri SSPC di Tok Uban di sini.
Menurut Mohamad Hafizal, apa yang lebih membanggakan ialah sebahagian besar penerima bukanlah daripada golongan mewah, sebaliknya ada yang berniaga secara kecil-kecilan, menjaja dan ada yang berstatus asnaf.

Inisiatif berkenaan dimulakan di Kelantan sebagai lokasi perintis sebelum konsep penghargaan hebat itu diperluaskan ke negeri-negeri lain pada masa hadapan.
Kedai Emas Sri Semantan cukup sinonim dan terkenal dengan penawaran pelbagai koleksi emas ‘preloved’ (terpakai) yang berkualiti tinggi.
Mula mendapat tempat di hati pelanggan, jenama ini kini telah berkembang pesat dan berbangga mempunyai rantaian cawangan yang beroperasi di seluruh Malaysia.

