Hiburan

Keserasian Iman Troye, Asslahierah Zahirkan Keharmonian Melodi Dalam ‘Jung Jung Inai’

Oleh

Keserasian Iman Troye, Asslahierah Zahirkan Keharmonian Melodi Dalam ‘Jung Jung Inai’

Keserasian vokal antara penyanyi popular Iman Troye dan rakan duetnya, Asslahierah, kembali memukau pendengar menerusi pelancaran single baharu berjudul “Jung Jung Inai”, sebuah karya bergenre pop etnik moden yang mengangkat keharmonian melodi tradisional dan kontemporari.

Pelancaran lagu terbitan XO House Sdn Bhd itu diadakan di ibu pejabat syarikat berkenaan di Sungai Buloh, Selangor, sekaligus menjadi pertaruhan kedua gandingan duo terbabit selepas kejayaan lagu raya sebelum ini.

Menurut Iman Troye, karya ciptaan bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus itu sebenarnya sudah siap dirakamkan pada awal tahun ini, namun sengaja disimpan seketika bagi memastikan perancangan pelancaran tersusun rapi.

“Sebenarnya lagu ini siap pada awal tahun ini. Kami rancang untuk perap dulu lagu ini supaya lebih bersedia untuk tahun depan, terutamanya kerana saya mempunyai perancangan untuk menghasilkan album mini Pop Etnik yang mana lagu ini adalah salah satu kandungannya,” ujar Iman.

Dari sudut visual, video muzik (MV) “Jung Jung Inai” turut memperlihatkan kreativiti tersendiri apabila menampilkan penceritaan berinspirasikan dua karakter puteri legenda Nusantara.

Iman membawakan watak Puteri Gunung Banang, manakala Asslahierah memegang watak Puteri Gunung Ledang, yang digambarkan melarikan diri ke dunia nyata atas atas alasan tersendiri sebelum menemui takdir yang sama dalam penceritaan lagu tersebut.

Sementara itu, bagi Asslahierah, merakamkan lagu bergenre pop etnik buat julung kalinya memberikan pengalaman yang amat bermakna, biarpun beliau bukan berlatarbelakangkan seorang penyanyi profesional.

“Ini adalah kali ketiga saya merakamkan lagu, tetapi untuk genre pop etnik ini adalah kali pertama. Sesi rakaman mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam kerana banyak yang saya perlu belajar terutamanya dari segi ton vokal dan penjiwaan,” jelasnya yang turut meluahkan rasa syukur kerana terus diberi kepercayaan oleh pihak XO House.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) XO House, Adib Hamdi, mendedahkan bahawa pihak pengurusan mempunyai perancangan strategik jangka panjang bagi memastikan momentum kerjaya seni Iman terus konsisten menerusi penerbitan sekurang-kurangnya 10 lagu baharu di bawah projek album mini akan datang.

Beliau turut berkongsi bahawa hasil konsistensi kerjaya seni yang dipamerkan sejak usia 17 tahun, Iman kini diiktiraf sebagai artis yang menjana pendapatan paling tinggi di bawah naungan label tersebut, dengan kutipan mencecah RM2.5 juta merangkumi sektor royalti, persembahan, serta kempen jenama.

Lagu “Jung Jung Inai” kini sudah boleh mula didengari di semua platform penstriman digital utama, manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi.