Ikuti Kami:

Kejohanan Bola Sepak Terbuka FELDA Bentuk Karakter, Disiplin Anak Muda

Kejohanan Bola Sepak Terbuka FELDA Bentuk Karakter, Disiplin Anak Muda

Penganjuran Kejohanan Bola Sepak Terbuka FELDA bawah 10 tahun (B-10) bukan sekadar platform memburu kejuaraan, malah menjadi medan terbaik dalam membentuk karakter, disiplin, dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan generasi baharu peneroka.

Kejohanan yang berlangsung di Dataran TODOM Tun Abdul Razak, Jengka sempena Hari Peneroka FELDA 2026 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-70 FELDA itu berjaya menghimpunkan lebih lapan pasukan daripada pelbagai kelab, kampung, dan sekolah sekitar peringkat akar umbi.

Wakil Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan, Ahmad Zahid bin Abdul Hamed berkata, biarpun sebahagian peserta masih di peringkat usia kanak-kanak, kesungguhan dan semangat juang yang dipamerkan sepanjang kejohanan amat membanggakan.

“Bagi saya, inilah sebenarnya intipati Kejohanan Bola Sepak Terbuka FELDA – bukan sekadar mengejar piala, tetapi mencungkil bakat dan membina karakter.

“Anak-anak ini pulang dengan pengalaman berharga, semangat kesukanan, dan yang paling penting, mereka belajar erti disiplin dan kerja berpasukan. Itu adalah kemenangan yang tidak ternilai,” katanya ketika ditemui media di sini.

Ahmad Zahid, yang juga bertindak sebagai jurulatih salah sebuah pasukan bertanding, menekankan kepentingan pembangunan bakat dari usia muda bagi memastikan masa depan sukan bola sepak negara terus subur.

Menurutnya, usia sekitar 10 tahun adalah fasa terbaik umpama ‘melentur buluh dari rebungnya’ untuk menerapkan mentaliti juara dan asas teknikal yang mantap sebelum mereka melangkah ke alam remaja yang lebih mencabar.

“Kita tidak tahu, daripada lapan pasukan ini mungkin lahir Harimau Malaya suatu hari nanti. Kerana itulah FELDA komited untuk terus menganjurkan program sebegini – bagi memastikan tiada bakat yang terlepas pandang,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan FELDA atas sokongan berterusan terhadap program-program belia sepanjang tujuh dekad penubuhan institusi tersebut.

“Sokongan padu ini membuktikan FELDA bukan sahaja prihatin terhadap pembangunan ekonomi peneroka, malah turut komited melahirkan generasi belia yang sihat, berdisiplin, dan berbakat,” katanya.

Kejohanan anjuran MBFM yang menggunakan sistem perlawanan 15 minit setiap sesi itu bukan sahaja berjaya menyemarakkan sambutan ulang tahun ke-70 FELDA, malah menjadi medium penyatuan dalam memperkukuh ukhuwah komuniti peneroka dari pelbagai wilayah.

Komen
Loading...