168 Park Mall Lancar Kempen ‘Kongsi Rezeki’, Bantu Golongan Memerlukan Sempena Aidilfitri
- oleh Gerbang Daily
- 6 Mar 2026 9:26 pm
Sempena menyambut ketibaan Aidilfitri yang bakal menjelma, 168 Park Mall mengambil inisiatif murni dengan melancarkan kempen ‘Kongsi Rezeki’, sebuah program khidmat masyarakat (CSR) bagi membantu golongan yang memerlukan di sekitar Lembah Klang.
Kempen yang berlangsung bermula 6 Mac sehingga 30 Mac ini bukan sahaja memeriahkan suasana sambutan menerusi tema ‘Lebaran Klasika Raya’, malah menjadi platform untuk orang ramai menyumbang bakti secara lebih mudah dan berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif 168 Park Mall, Encik Edward Lum, berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama erat bersama Maaedicare, Village Grocer, dan TheLOT Associates bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.

“Raya adalah masa untuk berkongsi dan bersedekah. Menerusi ‘Kongsi Rezeki’, kami memudahkan komuniti untuk menyumbang barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, dan tepung yang dibeli di Village Grocer 168 Park Mall ke dalam tong pengumpulan yang disediakan di Aras LG,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran kempen, hari ini.
Menurut Edward, bantuan yang terkumpul itu akan diagihkan oleh pihak Maaedicare kepada pesakit di bawah seliaan Yayasan Amal Maaedicare serta keluarga terpilih yang telah dikenal pasti bagi memastikan bantuan tersebut disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Majlis pelancaran hari ini turut diserikan dengan upacara simbolik perasmian yang dilakukan oleh Edward bersama rakan kerjasama, disusuli dengan persembahan kebudayaan yang menarik bagi menonjolkan semangat perpaduan komuniti.

Bagi pengunjung yang mahu merasai suasana sambutan yang berbeza, 168 Park Mall kini tampil dengan dekorasi vintaj yang membangkitkan nostalgia “Raya lama”.
Selain itu, pengunjung yang berbelanja dengan jumlah minimum RM168 berpeluang membawa pulang ganjaran eksklusif seperti sampul Raya rekaan khas, beg rotan tradisional, atau set teko elegan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh melayari laman sesawang www.168parkmall.com atau mengikuti akaun media sosial rasmi 168 Park Mall bagi mendapatkan kemas kini terkini aktiviti menarik sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
Foto Oleh: Papadin.




