KLIH Lancar Bufet Ramadan ‘Warisan Desa’, Tampilkan Lebih 100 Juadah Tradisional Autentik
- oleh Gerbang Daily
- 6 Mar 2026 1:39 am
Kuala Lumpur International Hotel (KLIH) secara rasmi melancarkan bufet Ramadan bertemakan “Warisan Desa” yang menghidangkan lebih 100 jenis hidangan autentik Melayu, bermula 27 Februari hingga 19 Mac 2026.
Inisiatif kulinari yang dikelolakan oleh pengurusan baharu, Zaque’s Hotel (M) Sdn Bhd dengan kerjasama kepakaran daripada Serai Group itu bertujuan memberikan nafas baharu kepada pengalaman berbuka puasa di kawasan ikonik Chow Kit, dengan menggabungkan elemen nostalgia kampung dan suasana hotel yang elegan.
Pengurus Besar KLIH, John Ivan Chin berkata, pihaknya memberikan penekanan khusus terhadap kepelbagaian menu yang akan berubah mengikut jadual bagi memberikan pengalaman makan yang segar kepada para pelanggan.

“Kami menampilkan hidangan istimewa seperti Daging Masak Hitam, Ayam Masak Merah, Ikan Masak Cili Kantan dan Kambing BBQ Shoulder sebagai tarikan utama. Bagi memastikan kepelbagaian rasa serta pengalaman yang berbeza, menu akan ditukar pada hari Khamis hingga Jumaat serta Sabtu hingga Ahad,” katanya.
Antara tarikan lain bufet tersebut termasuk Sup Gearbox yang kaya dengan rempah ratus, serta variasi nasi berempah bersama lauk-pauk tradisi seperti Rendang dan Gulai Kawah.
Selain itu, pengunjung turut disajikan dengan pilihan pencuci mulut klasik seperti Seri Muka, Kuih Lapis, dan pelbagai jenis bubur manis.

Seiring dengan usaha transformasi KLIH daripada hotel taraf tiga bintang kepada empat bintang, pihak pengurusan turut memperkenalkan kempen “Dine & Win” yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,000 sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan.
Bagi memberi nilai tambah dan memudahkan perancangan bajet pengunjung, KLIH turut menyediakan kemudahan pembayaran fleksibel melalui penyedia perkhidmatan Buy Now Pay Later (BNPL) seperti SPayLater dan Atome.
Dengan kapasiti ruang yang mampu menampung sehingga 250 tetamu serta kemudahan parkir yang luas, KLIH kini menjadi antara destinasi pilihan utama bagi majlis berbuka puasa berkelompok di tengah pusat bandar.

Bagi maklumat lanjut dan tempahan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi hotel atau menghubungi pihak pengurusan melalui WhatsApp di https://bit.ly/WarisanDesaBuffet2026 dan https://bit.ly/WarisanDesaBuffet2026Group.
Kadar harga bufet ditetapkan pada RM120 bersih bagi dewasa, manakala harga bagi warga emas serta kanak-kanak adalah RM59 bersih.




