Kerajaan Tidak Bercadang Untuk Menyekat Pengguna Media Sosial – Saifuddin
- oleh Samad Mohd
- 4 tahuns lalu
Kerajaan tidak bercadang untuk menyekat pengguna media sosial tegas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Datuk Saifuddin Abdullah berkata pengguna media sosial bebas menggunakan platform sedia ada seperti TikTok dan YouTube termasuk menghasilkan dan memuat naik video seperti biasa tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),
Kerajaan bertegas dengan pendirian untuk mendokong prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu di laman media sosial.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah dan tidak berniat menggunakan Akta FINAS untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Saifuddin berkata, kerajaan akan meminda Akta FINAS 1981 (Akta 244) dengan mengambil kira situasi semasa.
Beliau berkata pihaknya sudah memulakan usaha untuk meminda akta-akta di bawah pengawasan kementerian itu agar bersesuaian dengan situasi semasa seperti yang diumumkan pada 20 Jun lalu.
“Kami akan memulakan proses meminda akta-akta berkenaan dalam masa terdekat,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu di Persidangan Dewan Rakyat dilaporkan berkata, semua penerbit filem termasuk agensi media arus perdana dan media persendirian diwajibkan memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) sebelum menerbitkan filem mereka di platform media sosial ataupun saluran tradisi.
Menurutnya, pemegang lesen perlu memaklumkan kepada FINAS sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum penggambaran sesuatu filem dimulakan.
Bagaimanapun, dalam kenyataan media, Saifuddin menjelaskan sebahagian daripada laporan mengenai jawapannya di Dewan Rakyat semalam berkaitan keperluan lesen FINAS untuk perfileman memberi gambaran yang tidak tepat sehingga membawa kepada makna yang berbeza daripada maksud jawapan beliau.
Katanya, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, beliau hanya menerangkan tentang undang-undang sedia ada, iaitu Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 [Akta 244] yang diluluskan Parlimen pada 1981, dan akta itu sudah digunakan selama ini termasuk kerajaan-kerajaan terdahulu.
Sumber : Harian Metro.