Lovebites pilih Kuala Lumpur Oktober Ini, Jelajah ‘Outstanding Tour’
- oleh Gerbang Daily
- 17 Jun 2026 3:25 pm
Kumpulan heavy metal wanita sensasi dari Tokyo, Jepun, Lovebites, memilih Kuala Lumpur sebagai antara destinasi utama siri jelajah dunia mereka, Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur, yang dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober depan.
Konsert sulung kumpulan itu di Malaysia akan diadakan di pentas berprestij Zepp Kuala Lumpur, sekali gus menamatkan penantian hampir sedekad para peminat genre muzik berkenaan di negara ini.
Pengarah Rockstage Entertainment selaku penganjur, Talib Othman berkata, keputusan membawa kumpulan virtuoso itu ke ibu negara dibuat selepas mengambil kira permintaan yang sangat tinggi daripada komuniti peminat muzik metal tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Mereka bukan sekadar sebuah kumpulan metal wanita, tetapi merupakan fenomena global yang memiliki peminat setia di seluruh dunia.
“Kami percaya konsert ini akan menjadi antara acara metal paling istimewa tahun ini kerana ia menandakan penampilan pertama mereka di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Talib, pihak penganjur kini sedang merancang sebuah produksi berskala penuh yang merangkumi aspek sistem bunyi dan pencahayaan terbaik bagi memastikan penonton mendapat pengalaman audio serta visual setaraf dengan persembahan mereka di Jepun, Eropah, dan Amerika Syarikat.
Beliau menambah, pemilihan Kuala Lumpur oleh pengurusan Lovebites turut membuktikan bahawa Malaysia kini semakin diiktiraf oleh penganjur antarabangsa sebagai destinasi penting bagi siri jelajah artis rock dan metal dunia.
Ditubuhkan pada 2016, Lovebites yang dianggotai oleh Asami (vokal), Midori (gitar), Miyako (gitar dan keyboard), Fami (bass), serta Haruna (dram) terkenal dengan kemahiran teknikal luar biasa menerusi gabungan muzik power metal, speed metal, dan melodic metal.
Sepanjang karier mereka, kumpulan itu telah menghasilkan beberapa album yang mendapat pujian pengkritik antarabangsa seperti Awakening From Abyss, Electric Pentagram, Judgement Day, dan Lovebites EP II.

Malah, mereka juga pernah merangkul anugerah “Best New Band” di Metal Hammer Golden Gods Awards di United Kingdom, selain pernah menggegarkan festival metal terbesar dunia antaranya Wacken Open Air, Download Festival, dan Graspop Metal Meeting.
Pada konsert itu nanti, peminat boleh menjangkakan deretan lagu popular mereka seperti Holy War, When Destinies Align, The Hammer of Wrath, Shadowmaker, dan Judgement Day.
Tiket bagi menyaksikan konsert berkenaan boleh didapati menerusi platform dalam talian MyTicket Empire.




