Kerjasama Strategik DPDDM-Wilmington Metropolitan University Pacu Pembangunan Modal Insan Global
- oleh Gerbang Daily
- 14 Jun 2026 4:17 pm
Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) dan Wilmington Metropolitan University (WMU), California, secara rasmi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh hubungan strategik dalam memacu pembangunan modal insan, pendidikan profesional, dan keusahawanan di peringkat global.
Majlis menandatangani MoU itu berlangsung dengan penuh gemilang sempena Majlis Konvokesyen Wilmington Metropolitan University di Golden Palace of Horses, di sini, baru-baru ini.
Pemeteraian dokumen bersejarah itu disempurnakan oleh Yang Amat Mulia (Y.A.M.) Tunku Azwil Tunku Abdul Razak, Canselor Wilmington Metropolitan University merangkap Penasihat Utama Diraja DPDDM, bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WMU, Profesor Dr. Lee.

Presiden DPDDM, Dato’ (Dr.) Nor Hasnal Hashmi berkata, kerjasama strategik ini diharap dapat membuka lembaran baharu dalam memberi manfaat meluas kepada institusi pendidikan tinggi serta komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa.
”Melalui inisiatif ini, fokus utama akan diberikan kepada pembangunan modal insan, penyelidikan, keusahawanan, serta pembinaan jaringan kerjasama yang kukuh demi memartabatkan lagi ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau turut menyatakan rasa bangga apabila beberapa tokoh usahawan dan ahli kehormat DPDDM terpilih untuk menerima pengiktirafan akademik tertinggi daripada universiti berkenaan atas sumbangan cemerlang mereka kepada pembangunan ekonomi negara.

Antara penerima Penganugerahan Doktor Kehormat (Honorary Doctorate) dan Industrial Doctorate termasuk Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merangkap Penasihat Undang-Undang DPDDM, (Dr.) Ahmad Nazib Johari (Undang-Undang dan Sains Politik), serta Pengerusi DPDDM, Dato’ (Dr.) Aisy Wafiq Leong Abdullah (Perniagaan dan Keusahawanan).
Turut menerima pengiktirafan ialah Dato’ (Dr.) Nor Hasnal Hashmi sendiri, YDP DPDDM Sabah Hajah (Dr.) Jamilah, (Dr.) Kartina Kamaruzaman, (Dr.) Awangku Azrie Awang Dzulkarnain, dan Eksekutif Korporat Perhubungan Awam Dewan Pendidikan Malaysia, (Dr.) Dato I.S Muhamad Faizal Abd Rahman.
Sementara itu, Provost Wilmington Metropolitan University, Profesor Dr. Richard McChullag berkata, kolaborasi ini direka untuk membuka peluang lebih luas menerusi program akademik, persidangan antarabangsa, kolaborasi penyelidikan, serta pengiktirafan kepimpinan.
”Pihak universiti amat menghargai peranan penting yang dimainkan oleh DPDDM dalam memperkasa tokoh kepimpinan dan komuniti perniagaan di Malaysia, sekali gus menyumbang ke arah pembangunan hubungan antarabangsa,” katanya.

Menerusi MoU ini, masyarakat, golongan profesional dan usahawan di Malaysia kini berpeluang mengikuti program pendidikan profesional yang ditawarkan oleh WMU merangkumi peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda (Degree), Sarjana (Master), dan Doktor Falsafah (Doctorate).
Program-program ini menawarkan laluan fleksibel melalui pendekatan pembelajaran sepanjang hayat dan pengiktirafan pengalaman industri, sekali gus bertindak sebagai pemangkin utama kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi demi meningkatkan daya saing Malaysia di pentas dunia.




