Industri muzik tanah air menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila dua gergasi rock ikonik Indonesia, Padi Reborn dan Dewa 19, berkongsi pentas buat kali pertama di Malaysia dalam satu acara mega yang menggegarkan Unifi Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Konsert yang diberi nama ‘Konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia’ anjuran Icon Entertainment itu bukan sahaja mengubati kerinduan ribuan peminat setia atau ‘Baladewa’ dan ‘Sobat Padi’, malah berjaya memahat lembaran baharu dalam persaudaraan muzik rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia yang menjangkau lebih tiga dekad.
Tampil sebagai pembuka tirai, Padi Reborn yang diterajui oleh Fadly (vokal), Piyu (gitar), Ari (gitar), Rindra (bass), dan Yoyo (dram) mengotot tenaga stadium dengan seleksi lapan buah lagu hit terbaik mereka termasuk ‘Sang Penghibur’, ‘Menanti Sebuah Jawaban’ dan ‘Sahabat Selamanya’.
Penampilan sulung gandingan ini di bumi Malaysia ternyata memberikan impak nostalgia yang luar biasa kepada penonton yang memenuhi segenap ruang arena sejak awal petang.
“Kami amat teruja dan berbangga kerana dapat berkongsi pentas bersama band lagenda, Dewa 19 di hadapan peminat di Malaysia,” kata Fadly.

Tirai utama malam itu bagaimanapun terus memuncak apabila maestro tersohor Ahmad Dhani bersama barisan keanggotaan lengkap Dewa 19 mengambil alih pentas.
Konsert berdurasi hampir tiga jam itu mempamerkan kehebatan transisi vokal dinamik menerusi tiga generasi vokalis utama mereka iaitu Marcello Tahitoe (Ello), Virzha, dan figura legenda, Ari Lasso.
Kemunculan Ari Lasso mendendangkan lagu-lagu berhantu seperti Kangen, Cinta ‘Kan Membawamu Kembali, dan Kirana nyata membuai emosi penonton, selain ketukan dram padu daripada Al Ghazali yang mengantikan Tyo Nugros.
Konsert diakhiri dengan lagu keramat Separuh Nafas yang disampaikan secara bersama oleh ketiga-tiga vokalis, sekali gus mematri memori indah yang membuktikan bahasa muzik rock Nusantara tidak pernah pudar merentas zaman.




