Konsert HUJAN XX: Tiket Ditambah 2,000 Lagi Susulan Permintaan Luar Biasa
- oleh Gerbang Daily
- 2 Jun 2026 5:53 pm
Penganjur ICON Entertainment mengumumkan penambahan sebanyak 2,000 tiket bagi kategori Standing Arena untuk konsert HUJAN XX, susulan sambutan luar biasa dan permintaan tinggi daripada peminat yang gagal mendapatkan tiket pada jualan terdahulu.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi media sosial rasmi ICON Entertainment hari ini, tiket tambahan yang dikenali sebagai kategori “Sang Enemy” itu akan mula dijual pada 3 Jun (Rabu) bermula jam 2 petang menerusi platform Ticket2U.
Pihak penganjur berkata keputusan menambah kuota tiket berkenaan dibuat selepas mengambil kira pelbagai maklum balas daripada peminat setia kumpulan Hujan, yang dikenali sebagai Rangers, yang tidak berjaya mendapatkan tiket ketika jualan pertama berlangsung sebelum ini.
“Disebabkan sambutan luar biasa dan permintaan anggota Hujan buat Rangers, kami menambah 2,000 tiket lagi untuk jualan. Kami mendengar keluhan peminat yang gagal mendapatkan tiket sebelum ini,” menurut kenyataan tersebut.
Konsert HUJAN XX bakal berlangsung pada 27 Jun ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sempena sambutan ulang tahun ke-20 perjalanan seni kumpulan rock popular tanah air itu.
Acara yang dijadualkan bermula pada 8.30 malam itu dijangka menghimpunkan ribuan peminat dari seluruh negara untuk meraikan dua dekad perjalanan muzik Hujan yang terkenal dengan deretan lagu hit seperti Pagi Yang Gelap, Bila Aku Sudah Tiada dan Rahsia Tuhan.
Penganjur turut mengucapkan penghargaan kepada peminat atas sokongan padu yang diberikan dan mengajak mereka untuk bersama-sama memeriahkan konsert bersejarah tersebut.
Terdahulu, tiket bagi konsert berkenaan dilaporkan telah habis terjual (sold out) sepenuhnya dalam tempoh singkat sebaik sahaja jualan dalam talian dibuka sebelum ini.
Tiket boleh dibeli di laman Ticket2u https://www.ticket2u.com.my/event/49418/hujan-xx-hujan20tahun




