Hijjaz, Inteam Dan The Rayhan Sah Sertai Konsert Charity Hijrah 2026
- oleh Gerbang Daily
- 16 Apr 2026 5:59 pm
Barisan gergasi industri nasyid tanah air, Hijjaz, Inteam dan The Rayhan disahkan bakal bersatu di atas satu pentas bagi menjayakan Konsert Charity Hijrah 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 4 Julai depan.
Konsert anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya itu bertujuan mengumpul dana bagi pembangunan prasarana sekolah.

Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin berkata pemilihan barisan artis senior atau “5 Series” itu merupakan strategi bagi menggamit semula memori peminat tegar nasyid, selain menjadi tarikan buat generasi muda.
”Pemilihan ini adalah untuk menarik golongan yang sudah biasa dengan nama-nama pelopor industri nasyid seperti Hijjaz dan The Rayhan, manakala Inteam mewakili generasi yang dapat merapatkan jurang dengan golongan muda,” katanya pada sidang media di Barbarossa Kahve, di sini hari ini.

Menurut Muhammad Khanafi, konsert yang akan diadakan di Dewan Ibnu Al-Jazari, SAMTTAJ itu menyasarkan kutipan penuh sebanyak RM150,000 yang akan disalurkan sepenuhnya untuk projek pembangunan sekolah, termasuk pembinaan dataran berbumbung bagi kegunaan 800 pelajar.
Selain persembahan nasyid, acara berkenaan turut menampilkan kelainan dengan pengisian elemen motivasi dan dakwah melalui penampilan khas Fynn Jamal, Faizal Ismail (FBI) serta Ustaz Nadzrie Abbas.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SAMTTAJ, Mohamad Mahathir Mohamed Hanan berkata penganjuran konsert di perkarangan sekolah itu telah mendapat kelulusan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling.
Beliau berkata konsert itu juga unik kerana bakal diselang-selikan dengan penyampaian 10 anugerah perniagaan bagi menghargai peranan usahawan dalam menyokong industri seni Islamik dan pembangunan komuniti.
Tiket bagi konsert eksklusif yang dihadkan kepada 800 penonton itu dijual pada harga RM100 dan boleh didapati melalui laman sesawang rasmi pibgsamttaj.bcl.my.




