Ahmad’s Fried Chicken Lancar Mad’s Sausage, Sasar Revolusi Menu Lokal di Cawangan Ke-56 Prima Sri Gombak
- oleh Gerbang Daily
- 3 Apr 2026 10:11 pm
Jenama ayam goreng tempatan, Ahmad’s Fried Chicken (Ahmad’s) melancarkan produk inovasi terbaharu, Mad’s Sausage, sebagai langkah strategik merevolusikan variasi menu makanan segera lokal sempena pembukaan cawangan ke-56 di Prima Sri Gombak, hari ini.
Pelancaran produk premium tersebut disempurnakan oleh Pengasas Ahmad’s, En. Taufik Khairuddin bersama Puan Lailatul Sarahjanna dalam majlis yang dihadiri oleh wakil media, pempengaruh (influencer) dan komuniti setempat.
En. Taufik berkata, Mad’s Sausage bukan sekadar menu tambahan, tetapi merupakan simbol evolusi jenama itu yang kini beralih daripada sekadar penyedia ayam goreng kepada sebuah rangkaian makanan segera yang lebih versatil.

“Kami mahu mengubah tanggapan bahawa jenama tempatan hanya mengikut trend. Dengan Mad’s Sausage, kami memperkenalkan kualiti rasa yang bold dan juicy, yang dibangunkan khusus menggunakan resipi rahsia dan kepakaran dalaman kami,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai produk tersebut, Puan Lailatul Sarahjanna menjelaskan bahawa Mad’s Sausage mempunyai kelebihan daya saing kerana kawalan kualiti yang ketat dari peringkat pengeluaran.
“Sosej, roti, hingga ke sos istimewa dan inti ayam (mince chicken) dihasilkan sendiri di kilang kami. Ini bukan produk yang dibeli secara pukal daripada pihak ketiga. Kami mahu pelanggan merasai pengalaman kualiti premium yang tidak boleh dibandingkan dengan produk lain di pasaran,” jelas beliau.

Buat permulaan, Mad’s Sausage diperkenalkan dengan perisa Chicken Special Sauce dan bakal diikuti oleh tiga lagi variasi perisa unik dalam masa terdekat bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan setianya.
Sempena pembukaan cawangan ke-56 ini juga, Ahmad’s turut memperkukuh ekosistem digitalnya melalui aplikasi Ahmad’s App yang kini dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan program afiliasi enam tingkat.
Melalui konsep ‘Spend, Share and Earn’, pelanggan boleh menikmati pulangan tunai (cashback) yang boleh dikongsi dalam komuniti, sekali gus meringankan beban kos sara hidup selaras dengan kempen terbaharu mereka, ‘Make Fast Food Affordable’.
Meskipun baru beroperasi selama dua tahun, Ahmad’s menunjukkan pertumbuhan luar biasa dengan 27 restoran di Lembah Klang dan kini mensasarkan untuk mencapai 60 cawangan sebelum hujung tahun ini.

“Fokus kami selepas ini adalah untuk menembusi pasaran Sabah dan terus melebarkan sayap ke negeri-negeri lain. Kami mahu membuktikan bahawa dengan sistem operasi yang tersusun dan kualiti produk yang konsisten, jenama tempatan mampu mendominasi pasaran arus perdana,” tambah Puan Lailatul lagi.
Pembukaan di Prima Sri Gombak yang menggunakan model pelaburan bernilai RM990,000 itu turut membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi Ahmad’s untuk terus bersaing dengan gergasi makanan segera antarabangsa.




