Raja Muda Selangor, Isteri Santuni Penghuni ‘Rumah Kita’
- oleh Gerbang Daily
- 15 Mar 2026 3:44 pm
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, berkenan mencemar duli menyantuni penghuni wanita dan kanak-kanak di Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Rumah Kita, Pandan Jaya, di sini.
Keberangkatan baginda sempena Program Ziarah Ramadan 2026 itu turut diiringi Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini.
Program kebajikan tahunan itu dianjurkan oleh Selangor Youth Community (SAY) dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) bagi memperkukuh semangat keprihatinan sosial serta menggalakkan penglibatan sektor korporat melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Dalam lawatan tersebut, Tengku Amir Shah meluangkan masa berinteraksi mesra dengan penghuni serta para sukarelawan, selain meninjau kemudahan kediaman dan menyampaikan sumbangan kepada penghuni serta bayi di bawah jagaan organisasi berkenaan.

Jurucakap Selangor Youth Community (SAY) dalam satu kenyataan berkata, program itu merupakan platform penting untuk menyatukan sektor korporat dan komuniti belia dalam membantu golongan rentan.
“Keberangkatan DYTM Raja Muda Selangor dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini memberikan suntikan semangat yang amat bermakna buat para penghuni. Fokus kami bukan sahaja bantuan material, tetapi memastikan kelestarian persekitaran yang kondusif buat wanita dan kanak-kanak di sini.
“SAY komited untuk terus menjadi jambatan antara pihak korporat dan golongan yang memerlukan bagi memastikan impak bantuan yang diberikan adalah berpanjangan,” menurut kenyataan itu.
Rumah Kita yang ditubuhkan pada 2015 menyediakan perlindungan sementara, sokongan psikososial serta penjagaan materniti kepada wanita yang memerlukan perlindungan, termasuk mangsa keganasan seksual dan mereka yang menghadapi kehamilan tidak dirancang.

Terdahulu, sebagai persediaan program tersebut, beberapa aktiviti pra-Ziarah Ramadan termasuk kerja-kerja gotong-royong membersih dan mengecat semula kediaman telah dilaksanakan sejak Februari lalu dengan penglibatan sukarelawan korporat serta agensi kerajaan.
Program berkenaan turut mendapat sokongan padu rakan strategik termasuk Nestlé Malaysia yang menyumbang RM70,000 serta produk selama setahun, Bridge Data Centres Malaysia (RM35,000), Worldwide Holdings Berhad (RM33,000) dan FGV IFFCO Malaysia (RM32,622) yang turut membina sebuah mini surau.
Antara penyumbang lain termasuk KHIND Malaysia, Eskayvie Sdn Bhd, BookXcess, FM Group, NGO Kita Haid, FRWRD serta sokongan logistik daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).




