Ikuti Kami:

Malaysia Tegaskan Tiada Stesen Jana Kuasa Arang Batu Baharu, Fokus kepada Tenaga Boleh Diperbaharui

Malaysia Tegaskan Tiada Stesen Jana Kuasa Arang Batu Baharu, Fokus kepada Tenaga Boleh Diperbaharui

Kerajaan Malaysia menegaskan tiada stesen jana kuasa elektrik arang batu baharu akan dibina, dan penjanaan bahan api ini akan dikurangkan secara berperingkat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menyatakan langkah ini sejajar dengan saranan Agensi Tenaga Antarabangsa untuk mengurangkan pergantungan kepada arang batu bagi mengatasi pemanasan global.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata kerajaan merancang untuk meningkatkan fleksibiliti grid sebanyak 20 peratus menjelang 2035 bagi menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui.

“Kita akan meningkatkan fleksibiliti grid dengan melabur dalam grid pintar dan sistem penyimpanan tenaga,” katanya ketika merasmikan Clean Energy Transition Asia (CETA) Summit 2024 di Kuala Lumpur.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia komited untuk memastikan peralihan kepada tenaga yang lebih bersih.

“Kita tidak hanya memberi tumpuan kepada pengurangan arang batu, tetapi juga memastikan seluruh sistem tenaga kita dapat menyokong pembangunan lestari,” tambahnya.

Kerajaan juga memperkenalkan Skim Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) untuk menggalakkan pengguna korporat melabur dalam tenaga boleh diperbaharui secara langsung. Fadillah menegaskan bahawa inisiatif ini bertujuan memacu liberalisasi grid tenaga di Malaysia.

Selain itu, Malaysia berusaha mengintegrasikan grid kuasa serantau bagi memperkukuh keselamatan tenaga di ASEAN, sambil mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil melalui perkongsian lebihan tenaga antara negara-negara jiran.

Komen
Loading...