Tourism Selangor Bekerjasama dengan Litar Sepang untuk Promosi Tahun Melawat Selangor 2025 di MotoGP 2025
- oleh Samad Mohd
- 2 bulan lalu
Tourism Selangor menjalin kerjasama strategik dengan Litar Antarabangsa Petronas Sepang bagi mempromosi kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) dalam acara Petronas Grand Prix of Malaysia (MotoGP 2025), dari 1 hingga 3 November depan.
EXCO pelancongan berkata kerjasama itu adalah untuk membuat hebahan awal mengenai promosi kempen TMS2025 kepada 200,000 pengunjung dalam dan luar negara sepanjang acara permotoran itu.
“Ia untuk memastikan sasaran Kerajaan Negeri menerima lapan juta kedatangan pelancong sempena TMS2025 tercapai.
“Acara ini juga dijangka bakal menyumbang kepada sasaran RM11.2 bilion resit pelancongan pada 2025, yang sememangnya membantu dalam melonjakkan ekonomi Selangor,” kata Dato’ Ng Suee Lim.
Beliau berkata demikian pada sidang media promosi Tahun Melawat Selangor 2025 sempena kejohanan MotoGP2025 di pusat media Litar Antarabangsa Sepang di sini hari ini.
Pada masa sama, Suee Lim memaklumkan Tourism Selangor akan menyediakan pelbagai maklumat dan promosi tarikan pelancongan negeri buat pengunjung melalui pameran pada acara itu.
Menurutnya, pameran pelancongan ekstrem akan mempromosi aktiviti Paragliding Jugra oleh Persatuan Luncur Udara Malaysia, White Water Rafting oleh Project Outdoor dan kayak Hikers Climbers.
“Selain itu, persembahan kebudayaan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan ketika perasmian pelepasan MotoGP 2024.
“Usahawan Platform Selangor (PLATS) di bawah kelolaan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membuka pameran menjual makanan tempatan seperti sate, punten, rojak dan kuih-muih,” kongsinya.