Ikuti Kami:

Akta Tahanan di Rumah Bakal Atasi Kesesakan Penjara: Fokus Kepada 20,000 Pesalah Layak

Akta Tahanan di Rumah Bakal Atasi Kesesakan Penjara: Fokus Kepada 20,000 Pesalah Layak

Kerajaan Malaysia sedang merangka akta baharu bagi memperkenalkan hukuman tahanan di rumah, yang disasarkan kepada 20,000 pesalah kategori tertentu sebagai langkah menangani kesesakan di 43 penjara seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan bahawa inisiatif ini bertujuan mengurangkan beban kapasiti penjara yang kini melebihi had.

Memetik Berita Harian, menurut Saifuddin, akta ini akan melibatkan pesalah kali pertama yang melakukan kesalahan tidak serius.

“Mereka ini termasuklah ibu tunggal yang terdesak kerana kemiskinan, orang sakit, dan warga emas yang layak dipertimbangkan selepas proses tapisan penuh oleh kerajaan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa hanya pesalah berdisiplin yang akan terpilih untuk menjalani hukuman di rumah.

Cadangan ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan Belanjawan 2025 sebagai alternatif kepada hukuman penjara.

Pesalah yang terpilih akan dikehendaki menjalani tempoh tahanan di lokasi tertentu seperti rumah kediaman atau rumah jagaan, dengan pemantauan Pegawai Penjara.

Namun, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengkritik akta ini, menyatakan kebimbangan bahawa ia mungkin memberi manfaat kepada pihak tertentu dan tidak sesuai digunakan untuk mereka yang terlibat dalam jenayah berat.

Saifuddin menegaskan bahawa langkah ini adalah salah satu penyelesaian kepada kesesakan penjara, di mana terdapat 82,000 tahanan berbanding kapasiti 74,000.

Beliau turut menyatakan bahawa amalan tahanan di rumah telah dilaksanakan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Australia. Akta ini dijangka akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen tahun depan.

Komen
Loading...