Dua Warga Asing Larian Berpakaian Tidak Senonoh Dikenakan Denda RM5,000
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
KOTA TINGGI – Dua lelaki warga asing masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan berpakaian tidak sopan sehingga menimbulkan kegusaran awam semasa berada di Desaru, Johor.
Hukuman itu dijatuhkan pada Isnin, selepas mereka mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Tertuduh, Satyanarayana Prasad Papoli, 70, warganegara India, dan Arthur Wang, 66, warganegara Taiwan, didakwa di bawah Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan atas pertuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam.
Memetik Sinar Harian, Arthur dikatakan berpakaian menjolok mata di jalan Utama, Desaru, manakala Satyanarayana melakukan perkara serupa di pekarangan Lotus Desaru Hotel antara jam 4 hingga 6 petang, pada hari Jumaat.
Dalam rayuannya, Arthur Wang, seorang pesara dan aktivis, memohon hukuman denda yang lebih ringan dengan alasan beliau tidak memahami budaya konservatif di Malaysia.
“Pakaian yang saya pakai adalah pakaian tradisional Orang Asli dari Orchid Island, Taiwan. Saya memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas kesilapan ini,” ujarnya.
Satyanarayana, seorang bekas peguam, turut merayu agar denda dikurangkan dengan alasan faktor usia dan keadaan keluarganya.
“Saya datang ke sini bersama isteri yang bekerja sebagai doktor untuk menghadiri program amal. Saya memohon maaf atas tindakan ini,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar denda RM5,000 setiap seorang, atau menghadapi hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal melunaskan denda.