Ikuti Kami:

Kadet UPNM Didakwa Dibuli dengan Seterika: ATM Janji Siasatan Terperinci dan Tindakan Tegas

Kadet UPNM Didakwa Dibuli dengan Seterika: ATM Janji Siasatan Terperinci dan Tindakan Tegas

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi, yang dipercayai menjadi mangsa buli serta dera oleh pelajar senior.

ATM dalam kenyataan semalam mengesahkan insiden tersebut, yang membabitkan pelajar kadet dibuli dengan seterika yang ditekap pada dada sehingga menyebabkan lecuran, seperti yang telah tersebar di media sosial.

Menurut kenyataan itu, kes berkenaan sedang dalam siasatan di peringkat ALK-UPNM bagi memastikan fakta sebenar insiden tersebut.

ATM menegaskan bahawa siasatan akan dijalankan dengan teliti, dan mereka tidak akan melindungi atau berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.

“Jika terbukti bersalah, tindakan disiplin yang tegas atau tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pihak yang terbabit,” kata kenyataan itu, yang turut menggesa orang ramai agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses penyiasatan.

ATM juga berjanji akan memaklumkan perkembangan hasil siasatan kepada umum dari semasa ke semasa bagi memastikan keadilan ditegakkan untuk pihak yang teraniaya.

Difahamkan, kejadian tersebut terbongkar apabila jurulatih bertugas mendapati kesan kecederaan pada tubuh mangsa semasa menjalankan pemeriksaan berkala.

Tragedi ini mengingatkan kembali kes kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang meninggal dunia pada 2017 akibat dibuli dan diseksa.

Susulan kes tersebut, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu.

Komen
Loading...