Ikuti Kami:

‘Kamu pendakwah, perbuatan itu tak dapat diterima akal’ – Hakim

‘Kamu pendakwah, perbuatan itu tak dapat diterima akal’ – Hakim

SHAH ALAM: Tindakan pendakwah selebriti, Da’i Syed merogol mangsa disifatkan suatu yang tidak dapat diterima akal secara munasabah kerana mempergunakan mangsa yang lemah.

Hakim Mahkamah Sesyen, Norazlin Othman, berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atas Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, atas tuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun, lima tahun lalu.

Norazlin dalam penghakimannya berkata, tertuduh dalam masyarakat sebagai seorang pendakwah selebriti yang memberi impak besar kepada orang awam terutama masyarakat Islam di negara ini, anak-anak muda dan penuntut universiti.

“Mahkamah mengambil kira peranan yang sering dimainkan oleh tertuduh dalam memberikan ceramah agama dan motivasi.

“Mahkamah juga mempertimbangkan kesan trauma kepada mangsa kerana membabitkan wanita dan kehormatan.

“Pastinya mangsa mengalami trauma kerana perlu kumpulkan kekuatan untuk tampil membuat laporan dan melalui setiap proses perundangan yang panjang dan bukan mudah, kejadian ini akan terus berada dalam ingatan mangsa hingga akhir hayat,” katanya.

Norazlin berkata, mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan itu.

“Pembelaan tertuduh bersifat penafian dan tidak cukup mematahkan kes pendakwaan bahawa kejadian rogol sememangnya berlaku.

“Pihak pendakwaan membuktikan bahawa tertuduh adalah orang yang mula-mula mengajak mangsa keluar dan membawa pergi ke rumahnya.

“Selain itu, mangsa yang lemah dan lurus bendul dibuktikan tidak boleh membuat keputusan serta melawan tertuduh ketika kejadian,” katanya.

Norazlin menolak permohonan penangguhan itu kerana tiada keadaan khas untuk mempertimbangkan perkara berkenaan dan hukuman penjara berkuat kuasa mulai hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Syed Shah Iqmal didakwa merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) dalam bilik sebuah kondominium di i-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira jam 1.35 pagi, 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen di sini, melepas dan membebaskan daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Namun, Mahkamah Tinggi di sini, pada 7 Mac lalu memerintahkan dia membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang dijalankan bermula April 2022 dan Syed Shah Iqmal sebagai satu-satunya saksi pembelaan.

Komen
Loading...