Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2024: Perspektif Baharu Pelancongan Domestik
- oleh Samad Mohd
- 2 bulan lalu
Kempen Cuti-Cuti Malaysia kini menawarkan pengalaman bercuti yang lebih bermakna dengan pelbagai aktiviti kraf, seni, budaya, dan warisan tempatan.
Buat pertama kalinya, Tourism Malaysia dengan kerjasama Kraftangan Malaysia serta agensi di bawah MOTAC menganjurkan Karnival Cuti-Cuti Malaysia (KCCM) 2024 dari 25 hingga 27 Oktober di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Bertemakan “Crafting Holidays,” karnival ini menawarkan lebih daripada 200 pakej pelancongan dengan diskaun 15 hingga 50 peratus. Para pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi kraf tempatan serta menikmati pelbagai makanan warisan.
Antara pusat kraftangan yang terlibat adalah Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Langkawi, Johor, dan Melaka. Setiap lokasi ini menawarkan tarikan unik seperti Pusat Jualan Kraf, Muzium dan Galeri Kraf Warisan, serta pelbagai aktiviti interaktif seperti anyaman rotan, kraf batik, seramik, dan pembuatan kompang.
Menurut YB Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pelancongan domestik dan memperkenalkan lebih ramai rakyat Malaysia kepada keindahan budaya dan warisan negara.
Pada tahun 2024, sasaran seramai 221 juta pelawat domestik dengan perbelanjaan sebanyak RM92.7 bilion telah ditetapkan. Jumlah ini dijangka terus meningkat sehingga 261 juta pelawat pada tahun 2026.
Selain itu, pengunjung karnival akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan serta berpeluang menikmati juadah tradisional dan aktiviti menarik di Pasar Saloma yang bertemakan perkampungan Melayu klasik.
Karnival ini turut disokong oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Warisan Negara dan Istana Budaya, serta beberapa syarikat media terkemuka seperti ASTRO dan Star Media Group.
Karnival ini diharapkan mampu merancakkan lagi industri pelancongan domestik dalam usaha mencapai sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026.