Ikuti Kami:

Kerajaan Timbang Henti Subsidi Telur Ayam, Penjimatan Dijangka Capai RM100 Juta

Kerajaan Timbang Henti Subsidi Telur Ayam, Penjimatan Dijangka Capai RM100 Juta

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempertimbangkan untuk mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B, dan C, terutama jika bekalan kembali stabil dan mencukupi.

Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu, menjelaskan bahawa penamatan subsidi ini mungkin akan dipertimbangkan berdasarkan kejayaan penamatan subsidi ayam yang telah berjaya menjimatkan RM100 juta setiap bulan.

“Penjimatan yang diperoleh daripada penamatan subsidi ini boleh disalurkan ke sektor agromakanan lain yang lebih memerlukan,” kata beliau.

Mohamad turut mengulas keputusan menamatkan subsidi harga ayam yang pada mulanya menerima banyak kritikan.

“Ketika kita mengambil keputusan tidak popular untuk menamatkan subsidi harga ayam, ramai yang menjangka harga ayam akan melambung tinggi. Namun, selepas subsidi dihentikan, harga ayam kekal stabil dan negara berjaya menjimatkan RM100 juta sebulan,” jelasnya.

Kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan sebanyak RM927 juta untuk subsidi telur ayam.

Pada Jun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan tiga sen bagi harga runcit telur ayam gred A, B, dan C di seluruh negara, melibatkan subsidi 10 sen sebiji telur dengan kos RM100 juta.

Mengulas lanjut, Mohamad menyatakan bahawa cadangan penamatan subsidi telur ayam telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Jika cadangan tersebut mendapat kelulusan, subsidi telur ayam mungkin akan ditamatkan.

Kerajaan telah menghentikan subsidi ayam pada 1 November tahun lalu, yang terbukti berjaya dalam menstabilkan harga dan bekalan ayam sehingga kini.

Komen
Loading...