Ikuti Kami:

KLCC Tawar Sajian Autentik Dalam ‘Tradisi Semarak Rasa Ramadan’

KLCC Tawar Sajian Autentik Dalam ‘Tradisi Semarak Rasa Ramadan’

Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sekali lagi menampilkan kelainan menerusi program ‘Tradisi Semarak Rasa Ramadan’ yang kini berlangsung bermula 4 hingga 15 Mac bagi menyambut bulan Ramadan tahun ini.

Program yang berlangsung di aras empat pusat konvensyen itu menawarkan pelbagai juadah warisan autentik yang digabungkan dengan inisiatif kelestarian makanan bagi memberikan pengalaman berbuka puasa yang bermakna buat pengunjung.

Cef Eksekutif Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Hisham Bin Jaafar, berkata tahun ini pihaknya memberikan penekanan terhadap penggunaan hasil tani tempatan yang segar bagi mengekalkan keaslian rasa tradisional yang menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.

“Pasukan cef kami telah melakukan usaha tambahan dalam mengemas kini resipi tradisional dengan fokus kepada bahan-bahan tempatan yang segar. Kami juga menyepadukan menu yang lebih sihat bagi memastikan pengunjung dapat menikmati juadah berbuka puasa yang berkualiti tanpa kompromi terhadap aspek pemakanan seimbang,” katanya.

Antara tarikan utama pada tahun ini ialah Signature Kambing Panggang, Nasi Ayam Bergulung Bijan, Laksa Lemak Aneka Lautan, Chicken Teriyaki serta hidangan klasik seperti Sotong Kangkung dan Yong Tau Foo.

Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai hidangan secara langsung di stesen masakan termasuk Sotong Bakar, Kambing Bakar, Sup Tulang Rawan serta variasi sate dan murtabak.

Dalam pada itu, KLCC turut memperkasakan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dengan memastikan 70 peratus daripada bahan mentah diperoleh daripada pembekal tempatan.

Bagi pengunjung Muslim, pihak pengurusan memberi jaminan bahawa semua dapur di pusat tersebut memiliki pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Harga bufet ditetapkan pada RM210 nett bagi orang dewasa, manakala warga emas berusia 55 tahun ke atas serta kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun menikmati potongan harga 50 peratus iaitu RM94.50 nett.

Kemudahan surau dan tempat wuduk yang selesa turut disediakan bagi memudahkan pengunjung menunaikan ibadah sepanjang tempoh tersebut.

Komen
Loading...