Ikuti Kami:

LIVE MUSIC @ SEA: Tomok dan Siti Nordiana Cipta Memori Berharga di Kapal Perairan Genting Dream

LIVE MUSIC @ SEA: Tomok dan Siti Nordiana Cipta Memori Berharga di Kapal Perairan Genting Dream

Program LIVE MUSIC @ SEA menjadi platform unik untuk mempersembahkan gabungan hiburan premium dan pelayaran mewah, dengan penampilan istimewa pasangan duet terkenal Malaysia, Tomok dan Siti Nordiana.

Bertempat di Zodiac Theater, Deck 7 FWD, Genting Dream Cruise, acara ini berlangsung pada 20 Januari dengan kehadiran lebih daripada 600 penonton yang terpesona dengan persembahan hampir 2 jam.

Acara yang diadakan sempena pelayaran 3 Hari 2 Malam dari Singapura ke Melaka ini memberikan peluang kepada kedua-dua bintang untuk mencipta memori istimewa.

Tomok, yang pertama kali membuat persembahan di atas kapal persiaran mewah, meluahkan rasa teruja dan syukur.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana ini adalah pengalaman pertama saya membuat persembahan di atas kapal yang besar dan mendapat respon yang sangat positif,” katanya.

Sementara itu, Siti Nordiana menganggap pengalaman ini sebagai impian yang menjadi kenyataan.

“Ini satu pengalaman yang sangat unik, sebab sebelum ini saya pernah datang sebagai penonton. Tapi kali ini, impian saya menjadi kenyataan sebab dapat membuat persembahan di tengah lautan. Rasanya sangat ‘rare’, dan saya sangat terharu dengan sambutan yang diterima,” ujarnya.

Selain menyampaikan lagu-lagu hit solo, pasangan ini turut mempersembahkan beberapa lagu duet popular seperti “Memori Mungkin Berulang” ,”Memori Berkasih” dan lagu popular nyanyian arwah Acik Spin bersama Siti Nordiana “Paling Comel” yang mendapat sorakan penonton.

Reaksi hangat daripada para penonton turut membantu mereka menarik peminat baru di kalangan tetamu kapal yang berbilang bangsa.

“Kami risau juga pada awalnya sebab melihat kehadiran pelbagai bangsa. Tapi Alhamdulillah, mereka semua sangat terhibur dengan lagu-lagu kami dan memberi sokongan yang luar biasa,” kata Siti Nordiana.

Bukan hanya LIVE MUSIC @ SEA, Kapal Perairan mesra halal, Genting Dream menawarkan pengalaman bercuti yang luar biasa, lengkap dengan aktiviti seperti taman tema air, rock climbing, ziplines, dan kemudahan mesra halal seperti restoran halal dan ruang solat, menjadikan ia percutian lengkap untuk semua.

Keunikan acara ini mencipta kenangan manis bukan sahaja untuk peminat, tetapi juga bagi Tomok dan Siti Nordiana yang kini menjadi sebahagian daripada sejarah hiburan di lautan.

Dengan kejayaan program ini, Resorts World Cruises berharap untuk terus menyajikan pengalaman luar biasa kepada para pengunjung di masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web https://rwcruises.com/

Komen
Loading...