Ikuti Kami:

Menteri Dalam Negeri Seru Ibu Bapa Segera Lapor Kehilangan Anak Tanpa Tunggu 24 Jam

Menteri Dalam Negeri Seru Ibu Bapa Segera Lapor Kehilangan Anak Tanpa Tunggu 24 Jam

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hari ini menggesa ibu bapa agar tidak menunggu sehingga 24 jam untuk melaporkan kehilangan anak-anak di bawah umur 18 tahun kepada pihak berkuasa.

Dalam kenyataannya di Parlimen, Saifuddin menekankan kepentingan bertindak segera sekiranya berlaku sebarang insiden kehilangan kanak-kanak.

“Jika ada insiden kehilangan anak-anak di bawah 18 tahun, saya syor agar ibu bapa terus lapor pada pihak polis dan jangan tunggu melepasi 24 jam,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa masa adalah faktor kritikal dalam usaha mencari kanak-kanak yang hilang.

Menurutnya, langkah melaporkan segera kehilangan tersebut membolehkan pihak polis memulakan siasatan dan tindakan awal, sekali gus meningkatkan peluang untuk menemui anak-anak dalam masa terdekat.

“Yang paling penting bila lapor hilang, pertama hebahkan seluas mungkin. Kita gunakan Nur Alert, kita masukkan dalam portal kanak-kanak hilang setelah kita minta izin ibu bapa atau penjaga kanak-kanak dan kita luaskan pencarian,” tambah Saifuddin.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa selepas kanak-kanak ditemui, pihak berkuasa akan memprofilkan maklumat kanak-kanak tersebut serta keluarganya.

“Bila kita jumpa, barulah kita profil kanak-kanak ini dan keluarganya. Selepas insiden kita temui, biasanya kita berikan sokongan terutama dari segi moral dan psikologi kepada keluarga yang terbabit,” jelasnya.

Nasihat ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memperketat keselamatan dan melindungi hak kanak-kanak, terutama dalam menangani insiden penculikan atau kehilangan secara tidak sengaja.

Komen
Loading...