Ikuti Kami:

Pendigitalan Cukai Jalan dan LMM Diteruskan

Pendigitalan Cukai Jalan dan LMM Diteruskan

Kementerian Pengangkutan menegaskan bahawa mereka tidak akan mengkaji semula pelaksanaan cukai jalan kenderaan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital, yang telah dilaksanakan sejak Februari tahun lalu.

Menteri, Anthony Loke, menyatakan bahawa inisiatif pendigitalan cukai jalan dan LMM akan diteruskan selaras dengan dasar digitalisasi negara.

“Kementerian tidak akan kaji semula pelaksanaan cukai jalan dan LMM secara digital walaupun terdapat permintaan beberapa pihak.

“Kita kena progresif kerana ketika ini sudah banyak perkhidmatan dinaik taraf kepada digital termasuk cukai jalan dan lesen memandu.

“Namun (pengguna) masih boleh cetak cukai jalan digital ini jika terdapat keperluan termasuk mematuhi peraturan negara jiran, tiada masalah,” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pelabuhan dan Logistik ASEAN, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak, terutama pengguna, meminta agar kerajaan mengembalikan pelaksanaan cukai jalan dan lesen memandu fizikal berikutan keperluan untuk memasuki negara jiran termasuk Thailand.

Pada Ogos tahun lalu, dua lelaki warga Malaysia meluahkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan saman oleh pihak berkuasa Thailand walaupun mereka telah mempamerkan lesen memandu digital.

Memetik Berita Harian, Anthony menambah bahawa pengguna hanya perlu mencetak cukai jalan dan lesen memandu digital jika ingin memasuki negara jiran.

“Sekiranya hendak ke luar negara, boleh cetak sahaja cukai jalan atau lesen memandu. Tidak menjadi masalah dan tidak perlu dikaji balik.

“Pendigitalan ini akan terus dikekalkan tetapi tidak bermaksud cukai jalan dan lesen memandu digital tidak boleh dicetak kerana ia boleh dicetak sendiri.

“Jika hendak masuk negara jiran termasuk Thailand yang tetapkan syarat perlu cukai jalan atau lesen memandu fizikal, cetak sahajalah, tak susah pun,” katanya.

Komen
Loading...