GENKRU Tambah Hari Keempat: Permintaan Luar Biasa Peminat Jadi Realiti
- oleh Gerbang Daily
- 2 minggu lalu

Konsert GENKRU yang berlangsung penuh meriah pada Sabtu, 3 Mei dan Ahad, 4 Mei 2025 kini mencipta sejarah baharu apabila permintaan luar biasa daripada para peminat mendorong pihak penganjur untuk menambah satu malam persembahan tambahan.
Menyedari sambutan yang luar biasa dan desakan hebat di media sosial, pihak Icon Entertainment mengumumkan bahawa Hari Keempat Konsert GENKRU akan diadakan pada Ahad, 11 Mei 2025, sebagai hadiah istimewa buat peminat setia kumpulan KRU.
Pemilihan tarikh 11 Mei dilihat bertepatan dengan cuti umum Hari Wesak pada 12 Mei, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk menghadiri konsert itu tanpa kekangan waktu bekerja atau belajar.
“Kami juga mendapat banyak permintaan daripada peminat yang mahu menonton lagi (repeat) kerana tidak puas dengan momen tempoh hari,”
kata Datuk Norman Abdul Halim.
Hasrat peminat mula tular di media sosial selepas dua malam pertama konsert mendapat pujian meluas.
Ramai meluahkan harapan agar konsert ini diteruskan lebih lama, dan petanda positif mula kelihatan apabila Iman Tang, Pengarah Icon Entertainment, memuat naik kenyataan ringkas di Instagram Story berbunyi, “Sabar jup, sedang diusahakan,” yang akhirnya menjadi kenyataan.
Tiket untuk Hari Keempat akan mula dijual pada Khamis, 8 Mei 2025, bermula jam 1 petang menerusi laman web rasmi Ticket2u. https://www.ticket2u.com.my/kruDay4.
Harga tiket bermula dari RM258 hingga RM588, dengan semua tempat duduk dikategorikan sebagai seated bagi memberikan keselesaan maksimum kepada penonton.
Sebagaimana malam-malam sebelumnya, Hari Keempat juga dijangka tampil dengan kejutan istimewa, termasuk kemunculan semula kumpulan Elite dan Adam AF, yang sebelum ini menghiburkan penonton pada Hari Pertama dan Kedua.
Dengan penambahan ini, Konsert GENKRU bakal menutup tirainya dengan lebih gemilang, menandakan kejayaan luar biasa bukan sahaja bagi KRU, tetapi juga bagi industri hiburan tempatan yang menyaksikan kebangkitan semangat nostalgia dalam skala besar.