Ikuti Kami:

Kegembiraan Ramadan: PTTI Group Santuni Anak-Anak Raudhatul Al-Faeez

Kegembiraan Ramadan: PTTI Group Santuni Anak-Anak Raudhatul Al-Faeez

Dalam usaha menyebarkan kegembiraan sempena bulan Ramadan, PTTI Group Sdn. Bhd. telah menganjurkan program kebajikan khas bagi meraikan anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Raudhatul Al-Faeez (RAF).

Program ini bukan sekadar memberikan bantuan, tetapi turut membawa keceriaan kepada mereka yang memerlukan.

Sebanyak 26 anak-anak RAF yang berusia antara 3 hingga 17 tahun dibawa membeli pakaian raya di SOGO Kuala Lumpur, menjadikan persiapan Aidilfitri mereka lebih bermakna.

Lebih istimewa, sesi membeli-belah ini turut dimeriahkan dengan kehadiran duta PTTI, Iman Troye dan MK K-Clique, yang menambahkan lagi keterujaan anak-anak RAF.

Menurut Timbalan Naib Presiden Komunikasi Strategik PTTI, Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid, program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang diadakan setiap tahun sejak penubuhannya pada 2015.

“Sebanyak RM10,000 diperuntukkan untuk program ini, termasuk pembelian pakaian, kasut, serta sumbangan duit raya kepada anak-anak RAF. Kami mahu mereka merasakan kegembiraan yang sama seperti kanak-kanak lain dalam menyambut Aidilfitri,” katanya.

Selepas sesi membeli-belah, anak-anak RAF turut diraikan dalam majlis berbuka puasa di Nando’s, SOGO Kuala Lumpur. Kemeriahan bertambah apabila Iman Troye dan MK K-Clique menghiburkan mereka dengan persembahan istimewa.

Sebagai tanda kasih, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI Group, Puan Siti Farhana Abu Osman, dan Ketua Pegawai Operasi, Encik Muhd Habibunajar Sazali, turut menyampaikan duit raya kepada mereka.

PTTI Group Sdn. Bhd. mengucapkan terima kasih kepada SOGO Kuala Lumpur atas layanan mesra sepanjang sesi membeli-belah serta kepada Nando’s Malaysia kerana menyediakan hidangan berbuka puasa yang istimewa.

Melalui program ini, PTTI Group terus komited dalam menyebarkan kegembiraan dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

Diharapkan usaha ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk menghulurkan bantuan dan menyemarakkan semangat Ramadan dengan nilai kasih sayang dan keprihatinan.

Komen
Loading...